Tuesday, June 23, 2009

SURAT UNTUK PEJUANG

Muqaddimah

Alhamdulillah, lafaz syukur dan tahmid kehadrat Illahi kerana dengan izinNya jua kita dapat bersua di Tamrin Qiyadiy Kebangsaan 2009. Selawat dan salam buat Penghulu segala Nabi, Muhammad s.a.w, para keluarga dan sahabat baginda. Bertemu dan berkumpulnya kita di Tamrin Qiyadiy kali ini merupakan satu peluang untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Setelah sekian lama kita berada di keluarga besar PKPIM dan yang begitu signifikan kita berada di aliran dakwah ini apakah sumbangan yang telah kita usahakan untuk memastikan Islam terus berada di dalam kemuliaan. Tamrin Qiyadiy merupakan usaha kita kembali ke pengkalan untuk melihat sejauh mana perjalanan dakwah kita, melihat kembali janji-janji yang pernah kita lafazkan dan mengisi kembali dada kita dengan ilmu, menyemarakkan amalan kerohaniaan yang setelah sekian lama kita kesampingkan. Kita tidak mahu dikategorikan sebagai golongan yang disebut oleh Imam Al-Ghazali sebagai pendakwah yang Khathiri ‘n-nashat, galili ‘l fiqh – hanya banyak aktiviti tetapi dangkal ilmu dan kefahaman. Justeru, marilah kita bersama-sama mempasakkan kembali niat yang ikhlas kita untuk berkampung di sini dengan harapan kita dapat membaiki diri, amalan dan menambahkan ilmu kita demi mencari keredhaan Allah Taala dan RasulNya.

“ Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
Surah Muhammad : ayat 7

Ba’da salam dan tahmid,

Saudaraku, yang insyaAllah dimuliakan oleh Dzat yang Maha Mulia, ku berharap semoga sahabat semua berada dalam lindungann Allah. Senantiasa bersyukur dan bersabar atas segala yang telah diberikanNya kepada kita. Kita yang lemah dan tidak berdaya., meskipun hanya untuk mengatur detak jantung dan hembusan nafas ini. Semoga kita menjadi hambaNya yang pandai mencuri perhatianNya dan menjadi kekasihNya. Kita berharap agar apa sahaja yang kita lakukan dalam seharian kita senantiasa sesuai dengan petunjukNya dan petunjuk RasulNya. Berserah diri dengan segala ketentuanNya dan menjadi penjuang untuk membela agamaNya.

Saudaraku, ayat pembuka dalam surat ini semoga selalu mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita dalam menegakkan Islam dan meninggikan agama Allah ini, bukanlah sia-sia. Semoga ayat ini tertanam kuat dalam hati dan fikiran kita, agar perjuangan dakwah Islam ini senantiasa menjadi tujuan utama dalam kehidupan kita. Sekaligus menghibur kita bahawa apa yang kita lakukan menjadi sebahagian dari amalan yang akan memberatkan hitungan amal baik kita di Akhirat nanti.

Saudaraku seperjuangan, tidak ada kata henti dalam hidup kita untuk senantiasa melakukan amal baik. Seharusnya memang tidak pernah ada pula keluh kesah dalam perjuangan dakwah ini. Semestinya pun tidak keluar dari mulut kita kata putus asa kerana begitu banyak perjuangan dakwah yang memerlukan perhatian kita. Yakinlah, Allah SWT tidak pernah dan tidak akan salah mengkalkulasi amalan baik kita. Mungkin kita sudah lupa berapa amal baik yang kita telah kerjakan, tetapi Allah tidak akan pernah lalai mencatatnya dan menghitungnya untuk bekalan kita di negeri abadi kelak. Begitu pun pasti kita lupa berapa banyak amalan buruk yang pernah kita lakukan, tapi Allah pasti tidak akan pernah lupa dan akan dengan mudah mencatatnya. Tapi kita memohon kepadaNya, agar tetap diberikan kekuatan untuk melakukan amalan baik selama hidup kita. Sebanyak mungkin.

Saudaraku yang telah memberikan perhatian dan tenaganya untuk dakwah Islam, masih ingatkah kalian ketika pertama kali kita belajar Islam? Kita bahkan mengeja nama Allah dengan amat susah. Kita tidak faham tentang isi Al-Quran, kita tidak mengerti apa erti apa perjuangan dakwah, kita bahkan buta dan tak pernah tahu dari mana kita berasal, untuk apa kita hidup di dunia dank e mana akan pergi setelah kematian. Aku pernah merasakan demikian, dan aku yakin di antara kita, bahkan ada yang pernah melakukan kemaksiatan sebelum akhirnya mendapat hidayahNya. Aku yakin di antara kita bahkan pernah menolak ajakan dakwah dari seseorang. Mengejek pelakunya dan menganggap sia-sia perbuatan mereka. Itu ketika kita tahu.

Semoga memori tentang ini menjadikan kita manusia yang bijak. Pengembang dakwah yang peka dan mampu menangkap segala isi manusia sebagai objek dakwah. Kita tumbuh menjadi pengembang dakwah dan pejuang Islam yang sabar dan penuh kelembutan. Jika kita berhadapan dengan objek dakwah yang menolak, bahkan menyerang kita, dan anggaplah bahawa mereka seperti kita dulu yang juga menolak sentuhan kuat orang yang tidak bosan mengajak kita menjemput hidayahNya. Jangan pernah merasa menilai ummat ini telah jumud, jika kita sendiri belum semaksimal mengajaknya menjadi lebih baik. Tidak perlu mengampuni usaha kita yang gagal dengan alasan umat sudah bosan dengan dakwah. Lalu kita merasa benar sendiri dan menyalahkan mereka…


Bersangka Baik dan Berlapang Dada


Lantaran seorang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Di antara sifat-sifat orang beriman ialah mereka sama-sama memberikan peringatan tentang kebaikan dan kesabaran.

Dari Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus ad-Dari r.a, Nabi s.a.w bersabda;

“Agama adalah nasihat”. Kami bertanya; “Untuk siapa?”. Kata Baginda; “Untuk Allah, kitabNYA, RasulNYA, pemimpin-pemimpin umat Islam keseluruhannya”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebagai pimpinan dan ahli di dalam gerakan yang tercinta ini, budaya menasihati perlu dikembalikan. Mustafa Mashyur di dalam bukunya Jalan Dakwah : Antara Qiadah dan Jundiyyah menyebutkan dalam memberikan nasihat, perlu mempunyai adab dan berhikmah.

1. Berilah nasihat dalam sebaik-baik bentuk dan terimalah dalam apa jua bentuk.
2. Sesiapa yang menasihati saudaranya secara rahsia maka ia telah menasihatinya dan mengelokkannya dan sesiapa yang memberi peringatan kepada saudaranya secara terang maka ia telah membuka tembelangnya dan memburukkannya.

Ciri – Ciri Penting Dai’e

1. Pertama-tama, sebelum segala-galanya bermula, ikhlaskanlah niat kerana
Allah Taala semata-mata. Tanpa keikhlasan, segala urusan akan runtuh dan
musnah.

2. Menjiwai betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Dengan
itu dia akan memberikan perhatian yang selayaknya dengan tugas tersebut
dan dalam masa yang sama merasai ganjaran yang tidak ternilai menantinya.

3. Melaksanakan tugas dengan bijaksana, pandai memilih uslub
(pendekatan), memberi tunjuk ajar dan menasihati yang baik serta berbincang
dengan cara yang terbaik.

4. Hendaklah bersikap ramah mesra, mempermudahkan urusan dan memiliki
akhlak yang baik. Semua ini dilakukan dengan sabar, lemah lembut (tidak
cepat marah), mengharapkan pembalasan di sisi Allah hasil daripada
rintangan yang dihadapi ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah, dan
menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para daie yang mengikuti jejak
langkah Baginda s.a.w.

5. Memahami selok belok cara hidup dan budaya masyarakat yang dia
berkecimpung di dalamnya. Juga memahami aliran pemikiran dan isu-isu
yang berlaku di dalam masyarakat, serta berusaha untuk mengenali dengan
lebih mendalam mad’u yang didakwahnya.
6. Mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam
untuk dijadikan bekalan. Dia akan mendapati di dalamnya terdapat pelbagai
bentuk penyelesaian masalah yang mampu membantunya menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil
oleh generasi muslimin yang pertama.

7. Menghafaz al-Quran sebanyak yang mampu untuk dijadikan dalil dalam
kerja-kerja dakwahnya. Pendekatan melalui kisah-kisah yang terdapat di
dalam al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam jiwa.

8. Dalam setiap perbualan dan perbincangan, unsur akal (kefahaman dan
logik) hendaklah dipandukan dengan unsur perasaan dan kejiwaan.
Sesungguhnya membangkitkan unsur perasaan dan kejiwaan akan
mempersiapkan akal untuk menerima apa yang disampaikan kepadanya dan
meninggalkan kesan.

Renungan
Dengan mengandaikan seorang da’ie hanya mampu mendakwah 2 orang mad’u sehingga berjaya dalam masa setahun, maka di tahun kedua akan akan berlaku 3 orang daie mendakwah 6 orang mad’u. Tahun ketiga pula 9 orang daie mendakwah 18 orang mad’u. Tahun keempat pula 27 orang daie mendakwah 54 orang mad’u. Tahun kelima pula 81 orang daie mendakwah 162 orang mad’u. Tahun keenam pula 243 orang daie mendakwah 486 orang mad’u. Tahun ketujuh pula 729 orang daie mendakwah 1458 orang mad’u. Tahun kelapan pula 2187 orang daie mendakwah 4374 orang mad’u. Tahun kesembilan pula 6561 orang daie mendakwah 13122 orang mad’u. Tahun kesepuluh pula 19683 orang daie mendakwah 39366 orang mad’u. Begitulah seterusnya. Pada tahun kelima belas bilangan daie mencapai jumlah 4,782,969 orang dengan mad’u seramai 9,566,938 orang. Pada tahun ketujuh belas kita memiliki 43,046,721 orang daie. Ini bermakna seluruh penduduk Malaysia berada di peringkat daie dan tiada seorang pun yang menjadi mad’u. Sekiranya kita mengandaikan seorang daie mampu mendakwah 3 orang mad’u sehaja dalam masa setahun sehingga berjaya, maka di tahun kelima kita mempunyai 256 orang daie dan 765 orang mad’u. Pada tahun kesepuluh pula bilangan daie meningkat kepada 262,144 dan mad’u pula seramai 786,432 orang. Pada tahun keempat belas kita memiliki 67,108,864 orang daie. Bayangkanlah betapa berkesannya dakwah fardiah apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Ingatlah kita hanya disuruh beramal dan natijahnya terserah kepada Allah.

Khulasah

Natijahnya, kewajipan kita terlalu banyak sehingga masa yang diperlukan tidak mencukupi sebagaimana yang dikatakan oleh As-Syahid Hasan al-Banna. Begitu juga dengan Dr Yusuf Al-Qardhawi, jika hal atau permasalah ummat itu hanya satu, cukuplah aku seorang yang menyelesaikannya tetapi masalah ummat terlalu banyak sehingga memerlukan tenaga yang ramai. Ummat dahagakan khidmat saudara. Rasailah denyut nadi ummat yang sedang menderita. Saya menyeru sahabat-sahabat agar menginfakkan diri untuk ummah dan agama kerana jika kita tidak menginfakkan diri sekarang, belum tentu datangnya peluang kedua. Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan di sini (PKPIM), di mana lagi. Kalau bukan sahabat-sahabat, siapa lagi. Fikir-fikirkanlah.


Selamat bertamrin
Nor Akmariah Abdullah
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI), Sesi 2008/2009