Tuesday, April 20, 2010

RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT ISU BUANG BAYI



Sebagai seorang individu / persatuan dan sebagai ahli masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab dengan penuh kesedaran bahawa isu pembuangan bayi merupakan salah satu kesan daripada permasalahan generasi muda hari ini. Justeru, beberapa langkah dan tindakan yang boleh diambil oleh kita adalah:

1) Melaksanakan program-program kesedaran baik yang berskala besar mahupun berskala kecil mengenai isu pembuangan bayi atau gejala sosial terutamanya dalam konteks dan faktor yang menyumbang kepada pembuangan bayi atau gejala sosial.

2) Bersedia membantu mana-mana NGO-NGO yang telah sedia ada produk-produk kesedaran untuk diimplementsi di ruang teritori atau kawasan masyarakat masing-masing.

3) Memperbanyakkan program-program pembangunan remaja dan belia untuk lelaki dan wanita, yang bersifat mission oriented (jangka masa panjang) dan bukan bersifat program oriented atau bukan bersifat ‘touch and go’ dalam usaha melahirkan generasi muda mempunyai jati diri muslim yang kukuh, menjadikan ilmu sebagai keutamaan tertinggi dan mempunyai pegangan agama yang kukuh dari sumber yang benar dan sahih

4) Memperkasa dengan penuh komitmen siri-siri kuliah yang dapat memperbetulkan dan memperkukuhkan pandangan hidup Islam sebagai seorang Muslim yang disasarkan kepada golongan muda dan masyarakat. Peri pentingnya pandangan hidup Islam dilihat sebagai asas tindakan dan keputusan dalam hidup.

5) Memberi kesedaran peri pentingnya ilmu sebagai keutamaan tertinggi dalam diri Muslim dan masyarakat Muslim.

6) Memperkasa dan mengukuhkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai ‘qudwah hasanah’ dan ikatan kita dalam segenap aspek kehidupan.

7) Memperkukuhkan hubungan dan jaringan yang rapat dengan JKM, LPPKN atau mana-mana badan atau agensi kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada kelangsungan usaha menangani isu pembuangan bayi.

8) Mencadangkan satu pertemuan drastic dengan ‘religious leader’ sebagai perbincangan awal dalam menangani isu ini.

9) Mencadangkan pertemuan drastic dengan pemimpin Negara khususnya menunjukkan sokongan kepada usaha-usaha kerajaan (menggesa penggubal dan pelaksana), memberi cadangan berkaitan isu pendidikan seks, pertemuan dengan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia.

10) Menubuhkan kumpulan Teras Wanita Islam yang dianggotai oleh NGO-NGO Islam

11) Mengadakan pertemuan dengan Dato’ Shahrizat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan tokoh-tokoh ilmuwan mengikut kepakaran masing-masing bagi berbincang berkenaan isu ini.

12) Pertemuan dan perbincangan yang serius dalam kalangan NGO Islam yang akhirnya akan wujudkan persefahaman dan kesatuan tindakan dalam menyediakan sistem sokongan (support system ) untuk isu ini.

HEWI PKPIM mahu terlibat tangani gejala sosial



Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri
utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 April - Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menangani isu pembuangan bayi di kalangan remaja.

Ia antara 12 resolusi yang dipersetujui HEWI PKPIM pada persidangan meja bulat berkenaan isu pembuangan bayi yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.

Kerjasama itu diadakan kerana mahasiswa ingin bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan generasi muda Islam di negara ini bebas daripada gejala sosial menjelang 2020.

Perbincangan itu dikendalikan oleh Naib Presiden HEWI PKPIM, Nor Akmariah Abdullah dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Sopian Ibrahim dan Pegawai Penyelidik Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Aminah Ismail.

Selain itu ialah Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq dan Ahli Jawatankuasa Belia Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Maryam Aizuddin.

Nor Akmariah ketika mengumumkan perkara itu berkata, resolusi lain yang dipersetujui ialah melaksanakan program-program kesedaran mengenai isu pembuangan bayi baik yang berskala besar atau kecil.

''Kami juga bersedia membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program-program kesedaran di kawasan masing-masing,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperbanyakkan program pembangunan remaja lelaki dan perempuan untuk tempoh jangka panjang dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh, menjadikan ilmu sebagai keutamaan dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.

''Selain itu kami juga akan memperkasakan siri-siri kuliah agama anjuran PKPIM supaya dapat memperbetul dan memperkukuhkan pandangan hidup remaja sebagai seorang muslim,'' katanya.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

Friday, April 16, 2010

PERSIDANGAN MEJA BULAT ISU BUANG BAYI DI MALAYSIA





Majlis HEWI Kebangsaan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (MHK PKPIM) akan mengadakan Persidangan Meja Bulat tentang Isu Buang Bayi. Ini berikutan masalah buang bayi yang semakin membimbangkan. Objektif MHK PKPIM mengadakan persidangan ini ialah untuk membincangkan secara serius tentang isu pembuangan bayi serta merangka gerak kerja yang lebih terancang bagi memastikan masalah ini dapat dibendung


Tarikh : 17 April 2010 / 02 Jamadil Awal 1431 H
Tempat : Shafie Conference Room, Kulliyyah Ilmu Wahyu & Warisan Islam,
Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak , Selangor


2.00 petang Pendaftaran

2.15 petang Ucapan alu-aluan

2.30 petang Pembentangan Kajian Kes Buang Bayi oleh :

1) Pn Hjh Nor Amni Yusoff
Pengarah Bahagian Kanak-Kanak,
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

2) Pn.Fadhlina Siddiq
Ketua HELWA,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

3) Aminah Zulkipli,
Pegawai Penyelidik,
Biro Perkhidmatan Pendidikan
Majlis Agama Islam Sarawak



3.30 petang Perbincangan Tindakan dan Resolusi

5.00 petang Pembentangan Resolusi

5.30 petang Bersurai

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi, Fatin , 016-2209520

Thursday, April 15, 2010

Tanggangkah ibu bapa ?

Penyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qadhaf

Penyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qadhaf

بسم الله الرحمن الرحيم

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز

Sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. Al-Hadid:25

Petikan ayat 25 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).

Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. (Untuk penyataan penuh sila klik di sini).

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.

Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf.

Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara`seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan. Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at?

Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:

إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula). Al-Nur:11

إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Nur:19

Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut. Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya.

Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."

Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala."

Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`ie." Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.

Sekretariat Bersama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).


Kajang: 11 Rabiulakhir 1431 / 27 Mac 2010

Tuesday, April 13, 2010

WACANA BAHAYA FAHAMAN PLURALISME AGAMA

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Islam Malaysia (MUAFAKAT), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) bersama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menganjurkan:

WACANA BAHAYA FAHAMAN PLURALISME AGAMA

Pada tarikh:
1 MEI 2010 (Sabtu)

Masa:
8:30 pagi - 1:00 petang

Bertempat di:
Kuliyyah Ekonomi (KENMS), UIAM, Gombak


*** SEMUA DIJEMPUT HADIR TETAPI TEMPAT ADALAH TERHAD! ***

Sila buat Pra-Pendaftaran melalui:

E-mel: muafakat_malaysia@yahoo.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

SMS: Daftar Pluralisme Agama [Nama anda] [No. Telefon anda]
* Jika lebih daripada seorang - sila taip kesemua nama diselangi dengan tanda palang (/)
* Hantar ke 016-3956497 (Wan Burhan) atau 019-3199788 (Karim)

Agenda Program:

8:30 pg Pendaftaran dan sarapan
9:00 pg Ucapan aluan Presiden MUAFAKAT
9:15 pg "Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama"
Dr. Anis Malik Thoha (UIAM)
10:00 pg "Menjawab Fahaman Pluralisme Agama"
Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman El-Muhammady (ISTAC)
10:45 pg "Pluralisme Agama dari Sudut Pandang Aqidah dan Tamadun Islam"
Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran (UIAM)
11:30 pg "Membendung Arus Fahaman Pluralisme Agama"
Dr. Syamsuddin Arif (UIAM)
12:15 tghr Sesi Soal Jawab
1:00 ptg Makan tengahari dan bersurai