Wednesday, September 10, 2008
Daie-daie Yang Penat
Dalam satu majlis, saya telah dijemput untuk menyampaikan kata-kata penutup kepada
ratusan belia lelaki dan perempuan yang usianya sekitar 20–22 tahun. Saya tidak
dapat gambarkan ketika itu betapa gembiranya hati ini kerana melihat masih ramai
lagi anak-anak muda yang mempunyai kecintaan kepada agama dan sentiasa berjuang
menyebarkan fikrah kepada generasi muda yang lain. Mungkin agaknya kerana saya
banyak bergaul dengan golongan belia yang sudah hilang nilai-nilai murni agama
menyebabkan saya agak tergamam dengan suasana yang ada di hadapan ketika itu.
Namun di dalam hati kecil, saya ada perasaan bimbang tentang masa
hadapan mereka 15 atau 20 tahun akan datang. Mampukah bilangan yang mencapai angka
200 orang ini kekal di dalam kancah dakwah atau gugur di tengah jalan ? Ini
persoalan yang saya tidak ada jawapan dan tidak berani memberi apa-apa jawapan.
Pengalaman peribadi menyaksikan bagaimana begitu ramai da'ie-da'ie yang ketika awal
dakwah begitu bersemangat, berkorban siang dan malam, menginfaq harta yang banyak,
bibir sentiasa berzikir, fikiran sentiasa berfikir, yang menjadi idola ramai rakan
dakwah yang lain. Kini ramai diantara mereka sudah menghilang diri dari persada
dakwah. Kadang-kadang saya rasa bingung tentang kenapa perkara ini terjadi?
Dimanakah silapnya tarbiyah yang dilalui ? Suara-suara yang dahulunya mampu
menghidupkan hati-hati yang mati, menyegarkan mata yang layu, membakarkan semangat
yang hampir pudar kini sudah hilang di arus duniawi yang kian sepi. Mereka adalah
da'ie-da'ie yang telah penat.
Sekali-sekala, semasa saya duduk bersendirian, saya merasa amat sedih mengingatkan
akan nasib teman-teman seperjuangan ini terutama apabila membaca ayat Allah swt:
”...dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang
lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)” – (47:38)
Kebanyakkan mereka bukanlah orang biasa malah mereka memegang kepimpinan,
pencetus kepada kerja-kerja dakwah. Hidup mereka sentiasa di jalanan, hanya pulang
ke rumah untuk berehat seketika, kadangkala tidur pun di dalam kenderaan. Sungguh
mengkagumkan.
Saya cuba memikirkan, apakah punca kepada keletihan da'ie-da'ie ini?
Saya imbau kembali detik-detik perjalanan dakwah satu persatu, tahun ke tahun,
peristiwa demi peristiwa, lalu saya merasakan saya sudah berjumpa dengan jawapannya!
Mereka terlalu sibuk mendidik orang lain sehingga mereka lupa untuk mendidik diri
sendiri.
Mereka jarang merenung diri, mereka tidak pernah beruzlah dan berzikir,
mereka lupa untuk menghisab amalan sendiri. Kalaupun mereka lakukan, ia bukan dibuat
dengan penuh kesungguhan. Keghairahan mereka untuk berdakwah tidak setimpal dengan
bekalan rohani yang ada. Akhirnya mereka kecundang dengan suasana persekitaran.
Mereka tidak dapat bertahan dengan tuntutan kerja yang semakin menekan,
tangisan keluarga yang ingin kerehatan, kehendak peribadi yang tidak pernah
kehabisan. Tidak kurang juga mereka yang mempunyai semangat terlalu tinggi dan
ghairah untuk mencapai natijah yang cepat hingga mereka mencari jalan yang lain.
Mereka bukan tidak faham tetapi mereka hilang kekuatan. Mereka sudah penat.
Pengalaman menunjukkan, untuk menghidupkan kembali da'ie-da'ie ini bukanlah satu
perkara yang senang apatah lagi mereka ini diistilahkan sebagai ”senior” didalam
kancah perjuangan. Mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk kepada mereka dan
memberikan keampunanNya terhadap ”jasa-jasa” yang telah mereka curahkan di dalam
dakwah. Tiada mereka tiadalah generasi baru hari ini.
Kini terus terang saya katakan, apabila saya mendengar ramai da'ie
pemuda dan pemudi hari ini begitu sibuk siang dan malam berdakwah sehingga sangat
susah untuk cari masa kelapangan, saya tidak lagi kagum seperti dahulu. Ini bukan
bermakna saya tidak menghormati mereka malah saya sentiasa berdoa akan kesejahteraan
mereka. Mudah-mudahan dakwah akan terus melahirkan manusia-manusia seperti ini.
Namun saya ingin memberi peringatan yang keras kepada da'ie-da'ie ini supaya
kesibukan saudara jangan sesekali menyebabkan saudara melupai diri sendiri.
Perjalanan dakwah ini jauh, rintangannya sangat besar yang mana kadang-kadang dia
diluar kawalan kita. Ini semua memerlukan nafas yang sangat panjang, ketahanan diri
yang tinggi, persediaan rohani yang mantap serta kefahaman yang jelas. Ingat, Allah
tidak akan jemu terhadap hamba-hambaNya tetapi hambaNyalah yang selalu jemu di dalam
beribadah. Jangan tertipu dengan aktiviti yang banyak tetapi sebaliknya nilailah
setiap aktiviti itu secara tenang dan objektif, mengukur pencapaiannya baik dari
segi ilmiah juga peningkatan hubungan saudara dengan Allah. Jika ianya positif maka
bersyukurlah tetapi jika sebaliknya maka beristighfarlah dan perbaikilah segera.
Saya teringat kata-kata Imam Al Ghazali tentang bagaimana syaitan menggoda
orang-orang yang kuat beribadat. Jika gagal menghalang, syaitan akan menyuruh abid
itu memperbanyakkan lagi ibadat lalu akhirnya dia merasa bangga dan mula
memperkecilkan orang lain yang kurang ibadat! Lalu mereka tejerumus dalam perangkap
syaitan.
Moga-moga Allah melindungi da'ie-da'ie ini.
Oleh: Aminuddin Yahaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment