Monday, December 12, 2011

JEMPUTAN WALIMAHTUL URUS 'AKMAR & ADHHA'




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

“ Semoga Allah SWT menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan semoga Allah SWT meningkatkan kualiti keturunan mereka, menjadikannya pembuka pintu-pintu rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa damai"

(Doa nabi Muhammad SAW pada pernikahan puteri Baginda Fatimah Az-zahrah dengan Saidina Ali bin Abi Talib RAH)


Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih & sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih & sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih & sayang. Dan apabila seorang suami memegangi jemari isterinya (dengan kasih & sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya”
(HR. Abu Sa’id)


“Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir” (Ar-Ruum 21)
“Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (menikah) dari hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. JIKA MEREKA MISKIN ALLAH AKAN MENGKAYAKAN MEREKA DENGAN KARUNIANYA. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) dan Maha Mengetahui.” (An Nuur 32)

“Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah” (Adz Dzariyaat 49)
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Dengan mengambil makna-makna agung di sebalik penurunan ayat-ayat Al-Qur'an & Hadith berkaitan pernikahan , dengan ini, kami ,

NOR AKMARIAH BINTI ABDULLAH & MOHD KHAIRUL RIDHWAN ADHHA BIN AKHIAR

dengan penuh kesyukuran mempersilakan Y.BHG. PROF / DATO' / DATIN / DR / TUAN / PUAN / ENCIK / CIK ke MAJLIS WALIMATUL URUS KAMI PADA :

17 DISEMBER 2011 bersamaan 21 MUHARRAM 1433 H, ( SABTU )

(Atucara majlis : 11 pagi - 6.00 petang)

di alamat 6920, KG.PENGKALAN ATAP, BATU RAKIT 21020 KUALA TERENGGANU,

TERENGGANU DARUL IMAN.

* Semoga dengan kehadiran para jemputan semua akan menyerikan lagi majlis kami serta diberkati Allah S.W.T. InsyaAllah *
p/s : sila utamakan urusan jamaah & ummah.


Pernikahan ini bukan atas dasar suka, bukan kerna dunia,
tapi kerana pernikahan ini suatu ibadah,
pengabdian pada tuhan, memenuhi syariat, mengikuti sunnah.
Pilih yang beragama, pilihan kerana agama,
Ini jalan mengapai cinta tuhan,
haluan memperoleh redha tuhan,
bernikah di jalan dakwah, demi meneruskan perjuangan.

Mohon doa, moga kami tidak berhenti,
atau hilang terus menyepi,
tapi tetap teguh terus utuh,
di atas haluan perjuangan.
Jazakallahu khayra jaza'. Terima kasih.


akmar - 013 3268277
Adhha - 014 5168698



Tuesday, November 29, 2011

bertabahlah.. Allah itu sentiasa di sisimu

insyaAllah...semoga aku tabah setabah org2 Soleh di sisiMu...

Wednesday, November 16, 2011

terimalah taubatku, ya Allah...




wahai tuhan jauh sudah
lelah kaki melangkah
aku hilang tanpa arah
rindu hati sinarmu

wahai tuhan aku lemah
hilang terumur noda
hapuskanlah terangilah
jiwa di hitam jalanku

ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya engkau
sang maha pengampun dosa

Ya robbi, jzinkanlah
aku kembali padamu
meski mungkin takkan sempurna
aku sebagai hambamu

ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya engkau
sang maha pengampun dosa

berikanlah aku
kesempatan waktu
aku ingin kembali
kembali...

dan meski aku tak layak
sujud padamu
dan sungguh tak layak
aku...

Tuesday, August 2, 2011

Monday, July 11, 2011

Truth that Cannot Be Cover - Bersih 2.0 09/07/2011


ku rasa sedih yang amat..Rakyat DIDAHULUKAN, apakah ini layanannya, begitu MAHAL HARGA SEBUAH KEADILAN & KEBENARAN..

bukan ambiga yang ditunggu untuk mengepalai perhimpunan, bukan dato seri anwar ibrahim yang dirai untuk mengetuai perhimpunan, tapi yang mengepalai & mengetuai perhimpunan yang difatwakan haram itu adalah SUARA HATI RAKYAT yg MAHUKAN KEADILAN & KEBERSIHAN dalam segala sistem yg ada..BERSIH bukan milik ambiga...

Sunday, May 29, 2011

KETOKOHAN SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID




KETOKOHAN SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID


“Ada empat wanita yang paling mulia dan penghulu segala wanita, mereka adalah Asiah Binti Muhazim, Maryam Binti Imran, Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad ” (Hadis Riwayat Bukhari)

Saidatina Khadijah binti Khuwailid adalah wanita pertama yang telah mendapat gelaran Umul Mukminin. Dialah wanita pertama yang bertakhta di hati Rasulullah s.a.w. dan berjaya menakluk hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.

Namanya sentiasa menjadi sebutan Rasulullah s.a.w. sehinggalah pada satu ketika Saiditina Aisyah r.a. menempelak dengan katanya, “Tidakkah ada wanita lain yang engkau sebut-sebut selain dari wanita tua yang sudah tiada lagi! Bukankah Allah telah menggantikannya dengan orang yang lebih baik?” Rasulullah s.a.w. merasa sangat tersinggung dengan kata-kata itu lalu dengan tegas Rasullulah s.a.w. menjelaskan:

“Wahai Aisyah: Demi Allah, tidak ada siapa yang dapat menggantikannya, jasanya, pengorbanannya tidak akan dapat ditandingi oleh sesiapapun, ketika tidak ada seorang pun yang beriman kepadaku. Dialah orang yang pertama beriman kepadaku. Ketika semua orang mengharamkan hartanya kepadaku, dialah antara orang yang mengorbankan segala hartannya untuk perjuanganku. Ketika aku dipersenda, dilanda oleh nestapa, dia meletakkan aku ditempat yang sangat mulia, dia dapat memberikan segala kegembiraan dan kasih sayang kepadaku. Dialah juga yang dapat melahirkan ramai anak-anak untukku.” Dan… ketika aku pertama kali didatangi Jibrail a.s. aku kebingungan, ketakutan… apakah yang akan berlaku kepada diriku, dia telah dapat mengembalikan ketenangan dihatiku, memberikan keyakinan bahawa… akulah Rasulullah yang ditunggu-tunggu untuk semesta alam.”

Mendengar ucapan itu sedarlah Saiditina Aisyah bahawa kata-katanya tadi adalah didorong oleh cemburu yang melulu dan mulai saat itu ia turut menyanjung tinggi keagungan Saidatina Khadijah r.a.

RUMAHTANGGANYA

Saiditina Khadijah sangat terkenal di kalangan kaumnya, kerana segala keistimewaan terkumpul pada dirinya, kecantikan, kebangsawanan, kebijaksanaan dan keluhuran budi pekerti.

Suaminya yang pertama bernama 'Atik Almahfuzi, setelah mendapat seorang puteri, perkahwinan itu tidak kekal, tidak lama kemudian ia berkahwin pula dengan Abi Halaalah Altimi setelah dikurnikan seorang putera, perkahwinan ini juga tidak kekal. Selepas itu kira-kira 10 tahun lamanya Saidatina Khadijah tidak terfikir untuk berumahtangga lagi, walaupun ramai dikalangan pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang kenamaan dan orang-orang kaya menghulur tangan mahu menjadikannya ratu dalam hidup mereka tetapi semuanya ditolak. Penolakan itu adalah disebabkan oleh sesuatu yang lebih besar dan sering memenuhi pemikirannya iaitu apa yang pernah didengarnya pada suatu hari sedang ia bersama-sama temannya seorang rahib datang mengatakan kepada mereka:

“Dengarlah wahai wanita, akan diutus seorang Nabi tidak lama lagi, barangsiapa diantara kamu yang ingin menjadi isterinya, buatlah.” Sambil ia tertawa, seolah-olah mempersendakan mereka. Wanita-wanita yang berada disitu menjadi marah hingga ada yang melontarkan batu kearah rahib itu, kecuali Saidatina Khadijah, kata-kata itu menusuk kalbunya, menggentarkan hatinya, benarkah itu, kalau benar mungkinkah aku menjadi isterinya, ya, akulah yang akan berdiri di sampingnya untuk memberi hidayah kepada kawannya yang telah jauh dari nilai insaniah yang sebenar, patung berhala, arak dan kezaliman bermaharajalela, bilakah akan lahir seorang Nabi untuk mengembalikan manusia ke jalan kebenaran… demikianlah bisikan hatinya selalu.

DETIK-DETIK PERTEMUAN DENGAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaannya, mencari pengurus-pengurus yang benar-benar bijak dan amanah, Saidatina Khadijah terfikir kepada pemuda Al-Amin di kalangan kaumnya, ia tidak ada sebarang cacat celanya, rupa paras atau tingkah lakunya.

Melalui orang-orangnya ia menawar kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menguruskan perniagaannya ke negeri Syam dengan bayaran berlipat ganda dari biasa dan Maisara akan menjadi pembantunya.

Dengan izin dan restu Abu Talib berlayarlah Nabi Muhammad s.a.w. mengepalai satu kafilah perniagaan yang sangat besar dengan dibantu oleh Maisara. Inilah pertama kalinya Nabi Muhammad s.a.w. mengendalikan perniagaan besar sendirinya tanpa Abu Talib yang sering menemaninya ke mana-mana.

Di Syam, Maisara memerhatikan dengan penuh takjub penggendalian Rasulullah s.a.w. yang luar biasa dan mendatangkan hasil yang luar biasa, semuanya: kejujuran, keikhlasan, kesederhanaan, tanpa sebarang penipuan, kepalsuan, propaganda, pemerasan dan sebagainya yang selama ini merupakan salah satu cara melipat gandakan keuntungan. Maisara berazam untuk menceritakan segala-galanya kepada Saidatina Khadijah, demi ingin supaya Muhammad s.a.w. menjadi pengurus harta itu buat selama-lamanya.

Di Mekah… Saidatina Khadijah dan Abu Talib menunggu-nunggu kepulangan kafilah Muhammad s.a.w. dengan debaran, takut dan bimbang jikalau sesuatu yang buruk menimpa Muhammad s.a.w. Abu Talib teringat pesanan rahib-rahib dan paderi kepadanya sewaktu pertama kali ke Syam dahulu “supaya menjaga Muhammad s.a.w. baik-baik, sesuatu yang amat besar akan berlaku kepada dirinya dan umatnya, ada yang tidak senang akan cuba membunuhnya.” Inilah yang menyebabkan Abu Talib menyesal membenarkan Muhammad s.a.w. pergi ke Syam.

Dan… sampailah saat yang ditunggu-tunggu. Dari pinggir kota Mekah terdengarlah berita bahawa kafilah Muhammad s.a.w. sedang menuju ke kota Mekah, membawa keuntungan dan barang yang belum pernah ada sebelumnya, gemparlah kota Mekah, terdengarlah sorak sorai menunggu barang-barang indah dari Negara Syam. Saidatina Khadijah pula ditengah-tengah pujian-pujian temannya, menunggu, kedatangan Muhammad s.a.w. menemuinya dengan penuh kesabaran. Sesampainya di Mekah, Muhammad s.a.w. terus meminta izin untuk menemui Saidatina Khadijah dengan penuh adab sopan, keikhlasan dan kerendahan hati, Muhammad s.a.w. menyerahkan segala keuntungan dan barang-barang perniagaannya serta menceritakan pengalamannya di negeri Syam, kenangan-kenangannya sewaktu di sana bersama Abu Talib dahulu, perbualannya dengan rahib-rahib dan paderi, di persinggahan mereka, setelah itu keluarlah Muhammad s.a.w. membawa wang yang berlipat ganda hasil dari titik peluhnya. Semua yang ada di majlis itu sepakat mengatakan:-

“Sebenarnya Muhammad itu bukan manusia biasa.”

Pada malamnya Maisara menceritakan segala keistimewaan yang dilihatnya mengenai Muhammad s.a.w. antara lain betapa para rahib dan paderi yang mereka temui memuliakannya, menjemput dan menjamu Muhammad s.a.w. di tempat-tempat ibadat mereka dan memberitahu Maisara bahawa pada Muhammad s.a.w. ini terdapat segala tanda-tanda dan sifat-sifatnya yang tersebut di dalam Taurat dan Injil bahawa “Dialah Nabi yang ditunggu-tunggu, dialah akhir segala Rasul-rasul.”

Mendengar itu debarannya begitu kencang, ia mengarahkan supaya semua fakir miskin di kota Mekah diberi makan dan sedekah daripada keuntungan-keuntungan yang diperolehi. Namun, debaran hatinya tidak dapat ditanggung seorang diri, ia mesti menemui Warqah bin Naufal anak bapa saudaranya, seorang rahib yang sangat warak dan arif tentang isi-isi Taurat dan Injil.

Setelah mendengar Khadijah, Warkah mengatakan: “Tidakkah engkau ingat wahai Khadijah, ketika engkau meminta aku meramalkan mimpimu, bahawa engkau bermimpi melihat matahari bersinar terang benderang, kemudian matahari itu masuk ke rumahmu, cahayanya menyinari kota Mekah dan kemudian menyinari seluruh alam ini! Bukankah telah ku katakan; Bahawa engkau akan berkahwin nanti, dan suamimu itu akan menjadi seperti matahari yang kau lihat itu, ya, manalah tahu, Muhammad itulah yang akan menjadi Nabi umat ini, kalau itulah pilihanmu memanglah tepat sekali. Wahai Khadijah, segala keistimewaan yang ada padanya, semuanya telah kubaca dalam Taurat dan Injil.”

MENJADI ISTERI AL-AMIN

Pulanglah Saidatina Khadijah dengan suatu azam bahawa ia akan menjadi isteri Muhammad s.a.w. dan memang tidak menyalahi hukum dan adat, andainya wanita menyatakan cita-cita yang demikian kepada seorang lelaki yang tidak ada tolak bandingnya. Namun demikian Saidatina Khadijah ingin mengetahui sama ada Muhammad s.a.w. menerimanya atau tidak, untuk itu ia berbincang dengan adiknya Ha’alah dan beberapa orang sahabat-sahabatnya, akhirnya mereka memilih Nafisah binti Mambah untuk menemui Rasulullah s.a.w. menyatakan hasrat suci Saidatina Khadijah.

Dengan rasa rendah hati Rasulullah s.a.w. menyatakan : “Siapakah aku ini jika dibandingkan dengan Khadijah, aku berasal dari anak yatim Quraisy sedangkan ia penghulu Quraisy ini.” Dengan kebijaksanaan Nafisah akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. meminta tangguh untuk berunding dengan Abu Talib, dan terkejutlah Abu Talib dengan perbicaraan anak saudaranya itu, akhirnya ia bersuara: “Wahai anakku, walaupun engkau tidak mempunyai harta tetapi engkau kaya dengan kemuliaan dan ketinggian budi.”

Jawab Muhammad s.a.w.: “Wahai ayahanda anakanda tidak pernah mengangankan harta kekayaan.” Tidak lama kemudian rombongan peminangan dan akad perkahwinan Nabi diketuai oleh Abu Talib telah disambut baik oleh keluarga Saidatina Khadijah yang diketuai oleh bapa saudaranya Amru bin Asad dan abangnya ‘Amru bin Khuailid’ dengan mas kahwin sebanyak 20 ekor unta.

Perkahwinan ini dirayakan oleh seluruh penduduk kota Mekah Al-Mukaramah dengan gembiranya.

“Berbahagialah Saidatu Quraisy di samping Amin Quraisy”

PENGORBANAN-PENGORBANAN DAN KETOKOHANNYA

Kebahagiaan rumahtangga Rasulullah s.a.w. bertambah dari hari kehari dengan bertambah 3 orang putera dan 4 orang puteri Rasulullah s.a.w. Tetapi tidak lama kemudian berlakulah ujian-ujian Allah keatas keluarga ini, dengan pemergian dua orang puteranya – Al Qasim Abdullah buat selama-lamanya. Menitislah air mata Nabi s.a.w. perlahan-lahan dengan kesedihan yang tiada tertahan, sebagai seorang ibu yang melahirkan, Saidatina Khadijah juga merasa pilu tiada terkira. Tetapi melihat kesedihan suaminya yang tercinta ia memendamkan saja kepiluannya, dikumpulkan segala daya hatinya untuk melahirkan ketenangan dan kesabaran. Pengorbanan perasaannya ini telah dapat menghiburkan hati Rasulullah, hingga kembalilah suasana keluarga seperti biasa, ketika Rasulullah s.a.w. sering pergi beruzlah, mendaki puncak-puncak bukit, meredah sahara yang luas, menerawang angkasa lepas, meneliti kejadian alam dengan segala keindahan dan keganjilannya, kemudian berkhalwat di Gua Hira’, beribadat dengan khusyuk dan tawaduk mengikuti ajaran agama Ibrahim a.s., dengan dorongan dan pengorbanan Saidatina Khadijah yang tidak akan mampu dilakukan oleh orang lain.

Sebagai seorang isteri Saidatina Khadijah sangat mengerti dan memahami kegemaran suaminya itu, setiap kali pemergiannya Khadijah akan membekalkan Rasul dengan makanan-makanan kegemarannya, iaitu serbuk ataupun pecahan-pecahan gandum, sedikit garam, minyak zaitun, tamar dan air zam-zam, seringkali pula Saidatina Khadijah menghantar khadam-khadamnya mencari untuk mengetahui khabar beritanya atau memberi bekalannya.

Setiap kali kepulangannya pula disambut oleh Khadijah dengan penuh kasih sayang. Bualan-bualan mesra dan cerita-cerita yang menyenangkan, kerana ia yakin suaminya sedang melalui satu proses yang amat sukar dalam meningkatkan kerohaniannya dan maqamnya di sisi tuhan Rabbul Jalil, malah seringkali apabila Nabi s.a.w. menceritakan kebimbangan dan keresahan hatinya dengan apa yang ia alami di Gua Hira, Khadijah meyakinkan bahawa apa yang ia lakukannya itu adalah suatu yang sangat besar ertinya buat masa hadapan, ia sangat berbangga dengan keteguhan hatinya berkhalwat dalam kegelapan Gua Hira dan beruzlah di tengah-tengah kerdipan ribuan bintang-bintang memikirkan kejadian alam dan hakikat ketuhanan.

Satu ketika Rasul menceritakan kepadanya: “Ya Khadijah aku kini sering melihat berbagai-bagai jenis cahaya, berbagai-bagai jenis suara, aku takut, kalau-kalau aku akan menjadi seorang tukang tenung.” Dengan tegas Saidatina Khadijah menjawab: Tidak wahai Muhammad, iblis dan syaitan tidak akan dapat menembusi hati-hati yang suci seperti hatimu itu.”

Walau bagaimanapun untuk lebih meyakinkan ia pergi menemui Warkah bin Naufal bertanyakan soal itu, Warqah menyatakan: “Ya Khadijah aku percaya, Muhammadlah yang akan menjadi Nabi kepada umat ini seperti yang disebut oleh Isa dan Musa didalam kitab-kitabnya.”

Kenyataan ini sangat menggembirakan Saidatina Khadijah, hatinya terus berkata-kata, “Benarkah… benarkah suamiku akan menjadi Nabi?” Ia mahu supaya Nabi Muhammad s.a.w. mendengar sendiri dari mulut Warqah. Ia merasakan tidak seorang pun yang lebih sesuai menjadi teman Muhammad s.a.w. menemui Warqah melainkan sahabatnya Abu Bakar As Siddiq. Dengan dorongan Khadijah pada suatu hari pergilah Nabi Muhammad s.a.w. dengan ditemani oleh Abu Bakar As Siddiq r.a. ke rumah Warqah mendengar sendiri bukti-bukti kenabian daripadanya. Demikianlah kehangatan semangat, keteguhan peribadi yang merupakan cahaya-cahaya murni dalam hidup Rasulullah s.a.w.

Ketika umur Nabi Muhammad s.a.w. mulai menjangkau 40 tahun, Nabi mula menceritakan kepadanya bahawa segala perkara yang dilihat dalam tidurnya akan benar-benar berlaku dan dilihatnya pada masa jaganya atau apa yang disebut sebagai ‘rukya-As-Sadaqah’.

Kemudian Nabi mula merasakan bahawa cahaya iman begitu kuat menembusi hatinya, bahawa kalimah ‘Lailahaillallah’ begitu bergema disanubarinya, bahawa Allah melihat segala kelakuan manusia walau sebesar zarah sekalipun, bahawa kaumnya telah begitu jauh sesat.

Siapakah akan menunjukkan jalan-jalan kebenaran kepada kaumnya? Siapakah yang akan menunjukkan jalan-jalan hidayah kepada kaumnya? Persoalan-persoalan ini begitu berat dirasakannya dan hanya Khadijah orang yang dapat memahaminya, Khadijah dapat merasakan bahawa saat-saat kenabian dan kerasulan sudah hampir tiba.

Benarlah sangkaan-sangkaannya, satu hari di pertengahan bulan ramadhan, pulanglah Nabi s.a.w. dari gua Hira’ dalam keadaan yang sungguh mendebarkan, dengan ketakutan, peluh-peluh sejuk membasahi jasadnya, Nabi meminta Khadijah menyelimutinya, berada disampingnya mententeramkan perasaannya, meredakan ketakutannya, setelah tenang sedikit barulah Nabi menceritakan segala peristiwa kedatangan Jibril a.s. mengajarkannya wahyu yang pertama. Sebagai seorang isteri yang bijak bistari Khadijah mendengar dengan penuh minat dan khusyu’ segala curahan hati suaminya yang sedang dilanda seribu satu macam perasaan dan persoalan, akhirnya dengan segala ketenangan dan keyakinan yang ada padanya terukirlah sebuah senyuman diiringi dengan kata yang masyhur: “Gembiralah, tenangkanlah hatimu wahai Muhammad demi Tuhan yang menjadikan diriku, Allah tidak sekali-kali akan menghinamu, engkaulah sesungguhnya selama ini menghubungkan silaturrahim, menjalankan amanah, melaksanakan tanggungjawab, memuliakan tetamu, mengembalikan hak-hak kepada tuannya dan kaulah orang yang benar percakapannya.”

Kata-kata Khadijah begitu dingin dan damai mengalir menyirami hati Muhammad s.a.w. yang sedang dilanda kebingungan, kebijaksanaannya memilih kata-kata untuk mengembalikan ketenangan kepadanya, sangat-sangat disanjung tinggi oleh Nabi Muhammad s.a.w. namun demikian Saidatina Khadijah terus berada disampingnya sehinggalah Nabi terlena oleh keletihannya.

Sebenarnya Saidatina Khadijah pun merasa takut, apakah yang telah berlaku kepada suaminya, ia benar-benar takut dan dengan diam-diam ia keluar mencari Warqah, menceritakan segala-galanya, dan dengan gembira Warqah menyatakan: Bukankah telah ku katakan dulu wahai Khadijah, dialah Nabi umat ini, itulah Malaikat yang mendatangi Musa a.s. dahulu, tenangkanlah hatinya…” Mendengar itu Khadijah bagaikan melayang-layang ingin segera sampai kepada Muhammad s.a.w. tetapi sebaik-baik sampai sahaja dilihatnya sesuatu yang mendebarkan hatinya berlaku pula. Muhammad s.a.w. menggigil, menggeletar, peluh dingin mercik didahinya sedang bibirnya menyebut-nyebut ayat ‘Yaaiyuhalmuddatsir’ perlahan-lahan dengan penuh penghargaan Khadijah datang membelai Rasulullah s.a.w. dan bertanya:

“Apakah yang telah berlaku wahai Abal Qasim?”

“Jibril mendatangi aku lagi dan menghafalkan kepada aku ayat-ayat yang sedang kubaca ini.”

“Ya Abal Qasim, sekiranya sahabatmu itu datang lagi, beritahulah kepadaku.”

“Baiklah.” Jawab Nabi.

Tidak lama kemudian datanglah lagi Jibril, Rasul pun segera memanggil Saidatina Khadijah, lalu Saidatina Khadijah memanggil pula Nabi datang menghampirinya sambil bertanya:

“Sekarang adakah kau masih melihatnya?”

“Ya, aku melihatnya.” Sedangkan Saidatina Khadijah tidak melihat Jibril a.s.. Kemudian Saidatina Khadijah meminta Nabi Muhammad s.a.w. memasukkan kepalanya kedalam baju Saidatina Khadijah sambil bertanya lagi.

“Sekarang adakah kau masih melihatnya?”

“Tidak!” jawab Rasulullah s.a.w.

“Bagus, kalau begitu memang benarlah ia seorang Malaikat, kerana sekiranya ia syaitan, ia tidak mempunyai sifat malu.”

Kemudian Saidatina Khadijah menceritakan apa yang dikatakan oleh Warqah tadi dan tanpa diminta oleh Nabi s.a.w. Saidatina Khadijah menyatakan keimanan yang mutlak terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan ia benar-benar meyakini bahawa suaminya itulah Nabi yang ditunggu-tunggu selama ini, dengan itu Saidatina Khadijah merupakan orang yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. dimuka bumi ini.

Dengan peristiwa bersejarah ini keluarlah Nabi Muhammad s.a.w. dari uzlah membawa wahyu, memberi khabar suluh dan daulah, gambaran derita, didunia ini dan diakhirat nanti, dakwah dan risalah ini disambut baik oleh golongan bawahan, tetapi ditentang hebat oleh golongan atasan. Penentangan ini membawa kepada penderitaan dan penyiksaan terhadap Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikutnya, seribu satu macama tekanan dan siksaan itu ditanggungnya bersama-sama Saidatina Khadijah r.a. Ia telah menggunakan segala pengaruh dan harta yang ada olehnya untuk mempertahan dan memperkuatkan perjuangan Rasulullah s.a.w. di saat-saat penuh dengan ketegangan dan api hasad dendam ini, hanya diruang rumahlah Rasulullah s.a.w. mendapat kedamaian, senyuman dan kemanisan wajah Saidatina Khadijahlah nabi mendapat penawar segala derita yang menimpa dalam perjuangannya.

Hinggalah disaat-saat genting perjuangan ini apabila suku-suku Quraisy sepakat untuk memulaukan dan mengenakan sekatan ekonomi yang amat dahsyat terhadap keluarga Nabi dan pengikutnya, dengan menggunakan kekerasan mereka telah menghimpunkan keluarga Nabi dan pengikutnya di satu wadi/lembah di tengah-tengah kota Mekah yang dipanggil ‘Sya’ba Hasyim’. Kemasyhuran permulaan ini mereka tulis dan digantung didalam Ka’abah. Peristiwa pahit ini berlaku dan bermula pada malam pertama, bulan pertama, tahun ketujuh selepas ba’sah (kebangkitannya) sebagai Rasul s.a.w., sehingga tiga tahun lamanya. Dalam peristiwa ini, sebenarnya tidak ada sesiapa yang dapat memaksa Saidatina Khadijah untuk keluar rumahnya kerana kedudukannya dan hartanya, tetapi Saidatina Khadijah dengan kerelaan hatinya sendiri, demi kasihnya kepada suaminya, demi keimanannya kepada kerasulannya, ia keluar bersama-sama puternya, mengikut Rasulullah s.a.w. dan pengikutnya meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan hidup, hinggalah apabila mereka dibebaskan oleh sebab ‘kertas pemasyhuran’ itu dimakan anai-anai kecuali perkataan Allah. Saidatina Khadijah telah dibawa keluar dalam usungan dari Sha’ba Hasyim itu kerumahnya, ia telah jatuh sakit kerana penderitaan-penderitaan yang dialami selama tiga tahun itu. Sejak didalam usungan sampailah di rumah mereka, Nabi Muhammad s.a.w. dan puterinya tidak pernah berenggang darinya, walaupun sakitnya semakin hari semakin tenat, namun demikian tiada keluhan, tiada rintihan, tiada penyesalan darinya malah api semangatnya terus membara memberi sumber kekuatan yang tidak ada taranya kepadanya dan para sahabat-sahabatnya berjuang mendaulatkan Allah Rabbul A’lamin.

Tiga hari kemudian Saidatina Khadijah dengan damai dan sejahtera menghembuskan nafasnya yang akhir menyahut seruan PenciptaNya, meninggalkan Rasulullah s.a.w. dan puterinya dalam kesedihan yang tiada taranya.

Penutup

Demikianlah Saidatina Khadijah telah lama meninggalkan kita, tetapi api semangat, kegigihan, pengorbanan tetap kekal membara untuk selama-lamanya. Menjadi inspirasi perjuangan para Mujahidin dan Mujahidat dalam usaha mengembalikan Islam ke zaman kegemilangannya.

Oleh Ustazah Fauziah Thani, Kolej Islam Kelang

Thursday, May 12, 2011

takut makhlukNya tanda IMAN masih lemah





aku tidak mampu lagi mengurangkan kegelian serta ketakutan ku pada makhlukNya

walaupun makhlukNya itu kecil dariku malah lebih lemah daripada kuasaNya

mungkin KEIMANAN ku masih belum mengatasi ketakutanku pada makhlukNya

masih berbaki ketakutanku kepada makhlukNya

adakah itu memang sifat wanita yang lemah?

tapi ku kira aku agak berani juga

kerna aku selalu juga membonceng motosikal sendirian walaupun pada waktu malam

tapi ku kalah dengan makhlukNya yang kecil ini

malam tadi, sang kelawar masuk ke bilikku..Allah saja yang Maha Mengetahui kegelian serta ketakutanku

berpeluh-peluh ku melarikan diri darinya

sehingga ia jatuh melanggar dinding bilik lalu ku telangkupkan ia dengan selimut

entahlah, makin teruk perasaan takutku pada serangga serta binatang yang terbang ini

mungkinkah ini tandanya imanku makin lemah

sesungguhnya Allah itu patut kau TAKUTI daripada makhlukNYA

Ya Allah, bantulah aku mengatasi perasaan takutku pada makhlukMu

aku tidak berdaya melainkan dengan bimbinganMu


Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) dan Dia melindungi oang-orang yang soleh. (Surah al-A'raf: 196)

Sunday, April 17, 2011

"Aku Sudah Bertunang"




Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku.


Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain.


Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"


Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."


Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

Dipetik dari ILUVISLAM

Friday, April 15, 2011

Ku Cari UMAR

Wahai Para Pemimpin : Lihat & Contohilah Pemerintahan

Umar Al-Khattab r.a

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Pemimpin adil lagi beriman amat dirindui.

Kita kerap kali menyebut berkenaan kehebatan Khalifah Umar bin Abd Aziz dalam pentadbirannya sebagai pemerintah, sehinggakan masarakat bukan Islam turut mengetahui berkenaannya serba sedikit lalu menjadikannya role model dalam ucapan-ucapannya, saya berharap agar ia bukan hanya terhenti setakat di dalam ucapan sahaja dalam tindakannya. Tidak dinafikan usaha ke arah itu dapat dilihat sedikit demi sedikit, tahniah.

Selain Umar Abd Aziz, kita juga adakalanya dapat membaca kehebatan pentadbiran Islam di bawah khalifah kedua Islam iaitu Umar Al-Khattab r.a. Dalam tulisan ringkas ini saya ingin berkongsi beberapa petikan kisah ketegasan Umar Al-Khattab semasa pemerintahannya termasuk semasa menerima laporan dari rakyat terhadap perilaku gabenor-gabenor yang dilantiknya; ia amat baik dijadikan panduan dan ingatan bagi para pimpinan pentadbiran korporat, kerajaan negeri dan pusat dan bagi mereka yang ingin mengambil pengajaran.

KISAH 1 : KHALIFAH UMAR r.a DAN SA'AD ABI WAQQAS r.a [1]

Umar al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi Waqqas r.a seorang sahabat besar Nabi s.a.w sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafiq yang amat benci kepada Sa'ad, lalu membuat aduan palsu kononnya Sa'ad r.a tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan. Sedangkan di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand. Amat difahami kumpulan ini ingin mengganggu kelancaran perancngan kerajaan Islam.

Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui palsu oleh Umar Al-Khattab r.a tetapi beliau masih meraikannya secara SERTA MERTA dengan menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah. Umar r.a seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakladilan Sa'ad lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad.

Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad tidak adil dan tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang meinpu ini mati . Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.

Walaupun Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan dan menjaga status Sa'ad bin Abi Qaqqas, Umar al-Khattab meminta Sa'ad untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. Manakala Sa'ad di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah. [2]

KISAH 2 : UMAR R.A DAN HARTA GABENOR DAN PEGAWAINYA

Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. [3] Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. [4]

Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :-

a- Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut

"Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu" [5]

b- Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.[6]

c- Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya[7]. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a.

d- Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata

"barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas" [8]

e- Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan

"aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)"

Umar r.a menjawab

"Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" [9]

Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN.

Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Umar r.a tadi bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan para gabenor dan pegawainya, yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan oleh jawatannya.[10]

KISAH 3 : KHALIFAH UMAR r.a DAN DENDA ANAKNYA

Abd Rahman bin Umar Al-Khattab, salah seorang anak Umar al-Khattab berada di Mesir dan dilaporkan telah melakukan kesalahan dengan meminum arak. Beliau kemudiannya meminta Amru bin Al-‘As untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.

Namun Amru al-‘as r.a merasa serba salah kerana ia adalah anak khlaifah lalu menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza iaitu mencukur kepalanya dan ia disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepaptunya prosedur di ketika itu adalah hukuman minum arak mestilah dicukur dan disebat pada waktu yang sama di hadapan khalayak ramai.

Peristiwa ini bocor kepada Umar r.a lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut :- "engkau telah menyebat dan mencukur Abd Rahman di dalam rumahmu dan KAMU TAHU IA BERTENTANGAN DENGAN APA YANG AKU HARAPKAN (hukuman seperti orang lain), ...Abd Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (DI AKHIRAT), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak Khalifah sedangkan kamu tahu aku TIDAK SESEKALI BERKOMPROMI dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah swt" [11]

KISAH 4 : KHALIFAH UMAR r.a DAN KHALID IBN WALID r.a

Khalid Ibn Waled, yang terkenal sebagai ‘pedang islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Umar r.a al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar r.a dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.[12] Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, Namun ia adalah dari sebab berikut [13] :-

a- Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah, ia jelas dari surat umum yang dihantar Umar r.a kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ‘attached' dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah swt.

b- Pentadbiran ; iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.

c- Pentadbiran : Umar r.a inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentabdiran yang bebeas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah.

Di waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, belia berkata :-

"Amir al-Mukminin (Umar r.a) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku"

Lalu seorang lelaki berkata : "Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah"

Khalid membalas :

"selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu TIADA RUANG FITNAH untuk berlaku" [14]

Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar r.a walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar r.a adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.

Di ketika Khalid r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda r.a,

"Wahai Abu Darda, bila Umar r.a al-Khattab r.a wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku"

Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya:

"Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar r.a Al-Khattab r.a melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari setiap tindakannya"[15]

Khalid juga melantik Umar r.a sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Umar r.a al-Khattab menrima surat wasiat itu, beliau turut menangis.

Cuba kita bayangkan ketegasan Umar al-Khattab r.a tersebut dan bagaimana tingginya taqwa beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya?. Kerana Umar sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dahulu.

Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a.. Sesungguhnya wahai Umar al-faruq kami merinduimu pemerintahanmu..

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

30 Jan 2009


[1] Tarikh at-Tabari, Imam At-Tabari, 5/103-105

[2] Dawr al-Hijaz fi Hayat as-Siyasah, Dr Ahmad Ibrahim As-Syarif, hlm 257 ; At-Tarikh al-Islami, Al-Humaidi, 11/222

[3] Futuh al-Buldan, hlm 220 dan 221 ; Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/131

[4] Tarikh al-Madinah, 3/837

[5] Futuh Misr wa akhbaruha, Ibn Abd Hakam, hlm 92

[6] Futuh al-Buldan, hlm 77 ; Al-Idarah al-Islamiyah, Majdalawi, lm 216

[7] Tarikh al-Madinah, 3/832

[8] Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128

[9] Shahed al-Mihrab,

[10] Al-fatawa, 28/157

[11] Tarikh al-Madinah, Umar ibn Shabh An-Nameeri, 3/841

[12] Tarikh at-Tabari, 5/41

[13] Umar Ibn Khattab, His Life and Time, Dr Ali Md As-Sallabi, 2/111-114 ; Abatil yajib an tumha min at-Tarikh, Ibrahim Sha'oot, hlm 134

[14] Al-Kamil fi At-tarikh, Ibn Athir, 2/156

[15] Khalid ibn waled, Sadiq ‘Arjoun, hlm 349 ; Al-Khilafah wal Khulafa, hlm 198