Friday, February 22, 2008

PRU 12: WARKAH BUAT TEMAN




Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Ke hadapan teman- temanku yang dikasihi.


Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk berkongsi sesuatu dengan teman, memandangkan Pilihanraya Umum ke 12 akan berlansung tidak lama lagi. Tarikh mengundi telah pun diumumkan. Maka gendang ‘perang’ pilihanraya telah pun bergema.Seperti biasa, ahli politiklah manusia yang paling sibuk ketika PRU ini. Mereka akan berhempas pulas memastikan kejayaan di tangan mereka.


Tetapi, biarlah, itu memang tugas mereka pun. Kita hormati peranan mereka. Saya mahu berkongsi dengan teman- teman ialah, apa pula peranan kita sebagai rakyat biasa?Dalam pilihanraya, kita sebagai rakyat diberi tanggungjawab untuk mengundi calon pemimpin yang kita percayai akan membawa perubahan yang baik. Akan tetapi saya menyoal teman- teman yang bijaksana, apakah kita selamanya menjadi pengundi yang pasif? Yang sekadar memangkah calon atau parti tanpa berfikiran kritis?Ah, maafkan saya kerana agak keterlaluan soalnya.


Saya sebenarnya menujukan warkah ini kepada teman- teman saya yang masih muda- muda ini, yang dikatakan belia ini. Sebelum itu tidak terlambat saya alukan teman- teman yang baru sahaja layak mendaftar sebagai pengundi PRU ke 12 ini. Sememangnya saat menjadi pengundi ketika di alam kampus adalah pengalaman yang luar biasa sekali.Teman- temanku,Kenapa saya seru kita supaya tidak menjadi pengundi yang pasif? Sudah pasti teman- teman bertanya- tanya ingin mengetahuinya jawapannya kan?


Beginilah, saya harus berterus terang kepada teman- teman bahawa kita sebagai generasi muda, dan rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa, iaitu memilih dan menolak pemimpin yang kita mahu.Dalam pilihanraya, mengundi adalah caranya. Dalam konteks kita hari ini, teman- teman harus menyatakan tuntutan dan hasrat teman- teman kepada bakal- bakal wakil rakyat nanti. Kita harus tegas dalam menuntut hak dan yang paling penting apa yang baik untuk kita.


Saya melontarkan beberapa isu yang perlu kita sama- sama fikirkan, iaitu;


1. Kita belajar hari ini sudah kering daripada biasiswa, yang ada hanyalah pinjaman. Saya rasa ramai yang berhutang ketika belajar dan selepas belajar. Maka, bila berhutang ini, semacam kaki kita terikat sehinggakan asyik terfikir cara membayar hutang. Bukankah dalam Hadith Nabi ada mengatakan sebenarnya orang yang berhutang ini hina di siang hari? Kenapa kita tidak dapat lagi biasiswa? Walhal keuntungan negara agak memberangsakan.


2. Saya percaya mahasiswa sekarang pasti lebih mengenali Mawi daripada mengenali Naib Canselor- Naib Canselor universiti, percaya tak? Sekarang ini prestij universiti sebagai pusat intelektual sudah hilang nilainya. Pelajar semua sudah jadi macam ‘budak’ sekolah, dikawal dan diperhatikan sepanjang masa. Inilah akibatnya apabila universiti telah dijadikan perkakas kepentingan parti politik. Jika itu, lebih baik sahaja universiti ditutup sahaja, sebab hilang maruah akibat kerakusan politik. Kuasa autonomi universiti pun sudah hilang.


3. Nasib bahasa Melayu juga semakin merosot teman- teman. Kita ada pemimpin Melayu di peringkat Eksekutif yang ramai, tetapi bahasa Melayu semakin menyepi. Kenapa ye, wakil- wakil yang kita pilih tidak berusaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat yang tinggi?Ini adalah sebahagian isu yang saya rasa teman- teman tahu dan risau.


Sebenarnya banyak lagi isu yang bersepah yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Kerana itulah kita harus menghantar mesej yang jelas kepada bakal pemimpin dan kerajaan akan datang, bahawa kita generasi muda mahukan mandat yang segar dan baru.


Saya kaitkan juga dengan pelbagai masalah luar seperti rasuah kehakiman berleluasa, jenayah meningkat, mutu universiti merosot, gejala sosial meningkat, akhlak pemimpin yang rosak, dan pelbagai lagi.Kita tidak mahu kerja ‘tampal- menampal’ sistem yang rosak ini. Kita juga tidak mahu janji- janji mahu merubah sistem sedia ada yang rosak ini mendatang. Kita sepatutnya jelik dan bosan dengan janji- janji sesetengah wakil rakyat ini. Sebab itu Benjamin Disraeli ada menyatakan tentang politik, “Is the art of governing people by deceiving them”. Maksudnya, politik ialah seni mengurus manusia dengan cara menipu mereka (janji palsu).


Maaf, tidak semua saya katakan ahli politik sebegitu, tetapi ramai yang sebegitu.Justeru apa peranan kita, teman- teman bertanya ya. Kita harus menggerakkan kesedaran kepada semua rakyat dan kita sendiri mengenai hak dan kuasa kita. Kita ada kuasa memilih yang harus dimanfaatkan. Kita harus menggunakan kuasa ini untuk kepentingan dan kebaikan kita.Sebab itu kita perlu faham, bahawa ‘Yang Berhormat’ perlu ditukar kepada ‘Yang Berkhidmat’.


Kita wajib menuntut daripada mereka supaya menunaikan hak dan tuntutan kita, sebab mereka adalah wakil kita dalam parlimen kelak. Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasallam ada bersabda, “Saiidul kaum, khadimuhum”, maksudnya pemimpin kaum adalah khadam (berkhidmat) kepada kaumnya”.


Maka dengan inilah saya memohon kerjasama teman- teman semua supaya kita menyampaikan tuntutan dan hak kita. Setiap di kalangan kita harus membawa ‘wish list’, misalnya mahukan biasiswa dan pendidikan percuma kepada calon wakil rakyat, dan nyatakan kepada mereka adalah kamu boleh memperjuangkan biasiswa dan pendidikan percuma?


Jika beliau mengatakan boleh, maka kita katakan kita akan menyokong beliau. Jika tidak, kita tinggalkan calon yang tidak berguna ini.Misal yang lain ialah ‘wish list’ kita mahukan jenayah dikurangkan, kita berjumpa dengan calon wakil rakyat dan katakan adalah beliau bersetuju supaya membawa hasrat kita jenayah dikurangkan, jika bersetuju maka kita akan sokong, jika tidak kita kata bye...bye sahaja!


Kerja ini memerlukan kerjasama semualah. Saya tidak memaksa teman- teman untuk memilih siapa dan parti tertentu yang teman- teman cenderung, kerana saya menghormati pandangan semua. Saya juga menyerahkan kebijaksanaan teman- teman untuk memilih yang boleh membawa kebaikan.


Apa yang saya seru ialah SUPAYA HAK DAN TUNTUTAN KITA MENJADI KEUTAMAAN BAKAL PEMIMPIN KITA.Kita harus mencerdaskan dan mendidik rakyat dalam hal ini. Kita tidak mahu rakyat yang tidak cerdik dan bobrok, kerana nescaya pemimpin yang diangkat oleh rakyat pasti di kalangan yang tidak cerdik dan bobrok juga.


Kita mahukan pemimpin yang lahir di kalangan masyarakat ialah mereka yang terbaik, yang mampu memimpin negara...ahh..saya terhimbau sebentar kepimpinan Umar Abdul Aziz yang penuh dengan keberkatan. Itulah yang kita mahukan.


Teman- teman sekalian,


Sebelum akhir, saya sekadar memohon kita sekadar menjadi rakyat dan pengundi yang bijak, yang meletakkan tuntutan dan hak kita di bahu bakal pemimpin akan datang supaya dapat dilaksanakan.


Tugas ini agak sukar dan penat, tetapi saya yakin jika kita buat secara bersama, Insyallah, semua akan senang. Kita mahukan pemimpin yang boleh tunaikan hak kita, itu sahaja. Maka, kita wajib mendidik dan mencerdaskan rakyat.


Selamat mengundi kepada teman- teman yang baru mendaftar!


Yang Ikhlas,

Mohd Hilmi Ramli

PresidenPersatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Gombak

13 TUNTUTAN GENERASI MUDA UNTUK BAKAL-BAKAL CALON DAN KERAJAAN YANG AKAN DATANG

BISMILLĀHIRRAHMĀNIRRAHĪM
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:

1. Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa Melayu

2. Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3. Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan ‘worldview’, akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum

4. Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapi kepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5. Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6. Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7. Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8. Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9. Menolak Pelabelan ‘Pro Kerajaan’ dan ‘Pro Pembangkang’.

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10. Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da’wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da’wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11. Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang ‘compartmentalization’ tidak melebar.

12. Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremehkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13. Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.


:: Tuntutan ini disokong oleh (akan bertambah semasa ke semasa):

1. Akademi Pemikiran Pelajar Islam (APPIM)
2. Alumni Pelajar Islam SBP (APIS)
3. Ikatan Pengajian Islam Pahang (IKATAN)
4. Kelab Intelektual Muda UIAM
5. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
6. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
7. Kesatuan Pelajar- Pelajar Islam Perak (KPIP)
8. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
9. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING)
10. Kesatuan Pembimbing Insan Terengganu (KEPITAR)
11. Persatuan Pelajar Islam Darul Aman (PERSIDA)
12. Persatuan Pendidikan Islam Negeri Sembilan (PPINS)
13. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
14. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
15. Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan dan
Selangor (PEPIAS)
16. Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT)
17. Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah

Dan individu:
1. Sdr Idzuafi Hadi Kamilan, mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia

Wednesday, February 20, 2008

:: TafsiR SuraH AT TAHRIM ::

12 februari 2008/05 Safar 1429H

TAFSIR : SURAH AT TAHRIIM , Ayat 6-9

RUJUKAN : TAFSIR FI ZILALIL QURAN, AS SYAHID SYED QUTB


TAFSIR AL-AZHAR, PROF.DR HAJI ABDULMALIK ABDULKARIM


AMRULLAH



PEMBENTANG : NOR AKMARIAH ABDULLAH


PENGENALAN SURAH AT TAHRIIM (MENGHARAMKAN)





  1. Surah ke-66 : 12 ayat


  2. Surah Madaniyyah, diturunkan selepas surah Al-Hujurat


  3. Dinamai surah At Tahriim kerana pada awal surah ini terdapat perkatan “tuharrim” “تحرّم ”
    yang kata asalnya at-tahriim yang beerti mengharamkan


  4. Hubungan yang erat dengan surah ke-65 sebelumnya iaitu Surah Ath –Thalaq, kerana surah ini masih beredar di sekitar isu yang berkaitan dengan perempuan lebih-lebih lagi surah ini dijelaskan dengan soal-soal yang timbul dalam rumahtangga Baginda


INTIPATI SURAH

- KEIMANAN
· Kesempatan bertaubat itu hanyalah di dunia saja, segala amal perbuatan manusia di dunia akan dibalas di akhirat kelak
- HUKUM-HUKUM
· Larangan mengharamkan apa yang dibolehkan/dihalalkan ALLAH swt
kewajiban membebaskan diri dari sumpah yang diucapkan untuk mengharamkan yang halal dengan membayar kaffarat
· kewajiban memelihara diri dan keluarga dari azab api neraka
· perintah jihad/ memerangi orang-orang kafir dan munafiq dan berlaku keras terhadap mereka di waktu perang.
- LAIN-LAIN
· Iman dan perbuatan baik atau buruk seseorang tidak bergantung kepada amal dan perbuatan orang lain walaupun antara suami isteri seperti isteri-isteri Nabi Nuh a.s, isteri Nabi Luth a.s, isteri Fir’aun dan Maryam.
· Beberapa tuntutan dalam kehidupan berumahtangga.

Ayat 6

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari azab api neraka, yang bahan bakarnya adalah terdiri daripada manusia dan batu, penjaga-penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”



TAFSIRAN AYAT
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari azab api neraka”
- Mengakui beriman tidak belum cukup, iman mestilah dipupuk dan dipelihara dan dengan dasar iman inilah, seseorang itu menjaga keselamatan dirinya dan seisi keluarganya dari azab api neraka
- Dari institusi kekeluargaan/rumahtangga itulah dimulai dengan penanaman IMAN dan pemupukkan nilai-nilai ISLAM
- Jelaslah bahawa IMAN itu mula ditumbuhkan dengan diri individu tersebut, kemudian baru dianjurkan mendirikan rumahtangga. Diperintahkan nikah kahwin menurut peraturan tertentu. - Dalam surah ke-30,Ar-Rum, ayat ke-21 diterangkan bahawa salah satu daripada kebesaran ALLAH ialah diciptakan ALLAH untuk kamu, isteri-isteri kamu, supaya kamu merasa tenteram dengannya, dan dijadikan oleh ALLAH di antara kamu mawaddah yang beerti cinta dan rahmah yang beerti kasih saying, iaitu dipadukan hati dan dimesrakan hidup suami isteri.
- Setelah ayat perintah agar seorag mu’min memelihara diri dan keluarganya dari azab api neraka ini turun, bertanyalah Saidina ‘Umar Al-Khaththaab kepada Rasulullah saw : “ kita telah memelihara diri sendiri daripada api neraka, dan bagaimana pula caranya kita memelihara ahli keluarga kia dari neraka?”
- Rasulullah saw. menjawab :
تنهونهم عمّا نهاكم الله وتأمرونهم بما أمرالله
“kamu laranglah mereka dari segala perbuatan yang dilarang ALLAH dan suruhlah mereka mengerjakan apa yang diperintahkan ALLAh.” (riwayat dari Al-Qusyairiy, dalam tafsir Al-Qurthubiy)


“ yang bahan bakarnya adalah terdiri daripada manusia dan batu, penjaga-penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”


· Manusia yang derhaka kepada Tuhan, yang hidup di dunia ini tiada bernilai kerana dipenuhi oleh dosa, dan samalah keadaannya dengan batu-batu yang berserakan di tengah-tengah pasir dan sebagainya.

· Disebutkan di atasnya kerana Allah memberikan kekuasaan kepada malaikat-malaikat itu menjaga dan mengawal neraka itu, agar apinya selalu menyala, agar alat penyalanya selalu sedia,baik batu mahupun manusia.
· Sikap-sikap malaikat yang keras lagi kasar menunjukkan bahawa sikap itulah yang sesuai mengambarkan keadaan dalam neraka sebagai tempat menghukum mereka yang ingkar.

· Di hujung ayat 6 ini menunjukkan bahawa betapa kerasnya disiplin serta peraturan yang dijalankan dan dijaga oleh malaikat-malaikat , nampaknya mereka sangat patuh dan taat kepada ALLAH serta tidak merubah dan tidak membantah.

Ayat 7

“ Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur (alasan membela diri) pada hari ini. Sesungguhnya kamu akan diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan”


TAFSIRAN AYAT

“ Hai orang-orang kafir,
· Ertinya wahai orang2 yang tidak percaya akan seruan ini, agar kamu peliharadirimu dan keluargamu,isteri2 serta anak2 dan kamu berbuat hanya berbuat sekehandak hatimu saja di dunia, ketahuilah bahawa azab api neraka itu pasti kamu deritai kelak.

“ janganlah kamu mengemukakan uzur (alasan membela diri) pada hari ini.Sesungguhnya kamu akan diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan”
· Bahawa balasan yang kamu terima adalah setimpal dengan kesalahan yang telah kamu perbuat. Yang kamu perhatikan selama hidup di dunia hanyalah kekayaan, kebendaan, mmbanggakan diri, makan minum sebagaimana makan minumnya binatang belaka, tidak mempunya cita-cita, tidak mengingat masa hadapan(alam akhirat)
· Dirimu sendiri kamu sia-siakan, jiwa tidak dibersihkan, akal tidak digunakan untuk berfikir. Sebab itu, tiada wibawa terhadap isteri dan anak-anak sendiripun tidak merasa segan dan takut pada ayahnya. Harta benda mungkin banyak dikumpulkan padahal jiwa kosong dari pemikiran dan cita-cita hari hadapan.
· Maka peringatan Tuhan tentang seramnya api neraka, yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu, penjaganya malaikat2 yang bengis lagi kasar bukanlah suatu janji yang kejam.
· Allah bukan sekali-kali menyukai kira menuju ke sana, dan sebab itulah diperingatkan dari sekarang. Iaitu supaya ditempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini menurut tuntutan Allah dan Rasul, agar selamat dan terlepas dari azab api neraka.

Ayat 8

Hai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah tidak akan mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata “ Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami, cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” ”


TAFSIRAN AYAT

“ Hai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat sebaik-baiknya.


- Orang yang beriman disuruh dan digesa untuk bertaubat dengan sebaik-baik taubat iaitu TAUBAT NASUHA (nashuuh=BERSIH)…Rasulullah meminta ampun dan bertaubat kepada ALLAH sampai tujuh puluh kali sehari (riwayat Bukhari)/sampai seratus kali sehari (riwayat Muslim. Oleh sebab itu. Berkatalah Al-Qurthubiy dalam tafsirnya bahawa bertaubat itu adalah fardhu ‘ain atas tiap-tiap mu’min dalam tiap-tiap hal dan tiap-tiap zaman apatah lagi zaman kita yang porak peranda ummatnya.
- Mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
- Mudah-mudah (عسى),dipakai oleh ALLAH, ertinya PASTI. Tegasnya kalau seseorang benar-benar bertaubat nasuha, pastilah ALLAH akan menghapusi dosanya dan menghapuskan kesan buruk yang selama ini lekat pada peribadinya.
- Dua janji yang PASTI dariNYA, pertama orang yang benar-benar bertaubat nasuha akan diperbaiki kehidupannya (buruk kepada baik), kedua, jaminan dimasukkan ke dalam SYURGA.
pada hari Allah tidak akan mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata “ Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami, cahaya kami dan ampunilah kami.
- Ganjaran yang tak ternilai sebagai balasan jerih perih perjuangan menegakkan kebenaran, menyeru manusia kembali kepada ALLAH ketika di dunia, hadiahnya SYURGA.
Cahaya yang akan bersinar di Akhirat iaitu cahaya Iman.

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” ”


Allah mampu mengubah keadaan seseorang yang taat berputar menjadi sesat atau terjerumus dalam kehinaan,bila ALLAH berkehendak, tiada yang MUSTAHIL

Ayat 9

“ Wahai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik serta bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”

TAFSIRAN AYAT
“ Wahai Nabi,
· Perhatikan kembali ayat ini dan ayat-ayat yang lain yang serupa dengannya. Allah tidak pernah memanggil Nabi menurut namanya sendiri. Kepada Nabi Muhammad sepertimana Allah ucapkan kepada nabi-nabi lain, sebagai “wahai Musa”, ”wahai Adam” atau ”wahai Luth tetapi kalau memanggil Baginda dengan panggilan jawatan baginda, “wahai Rasul”, “wahai Nabi”, “wahai yang berselimut”.

perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik
· Bukanlah dimaksudkan semata-mata berperang seperti yang difahami iaitu memggunakan senjata dengan kekerasan. Sebab pokok kata diertikan ialah JIHAD.
· Erti JIHAD ialah kerja keras dengan segala kesungguhan, atau lawanlah, tentanglah, desaklah orang-orang kafir dan munafik itu dengan melakukan segala macam usaha, dengan harta, tenaga, lisan maupun tulisan
· Al-Qurthubiy menjelaskan bahawa menghadapi orang-orang kafir bukan saja dengan pedang tetapi juga dengan pelajaran yang baik(tauladan), dengan da’wah dan juga doa serta seruan

serta bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”

· Ahli-ahli tafsir menafsirkan bahawa seruan jihad adalah lebih umum daripada seruan bersikap keras.
· Memerangi kekafiran tidak selau mesti keras, kadang-kadang musuh dapat ditundukkan dengan sikap lemah-lembut atau hujah yang benar lagi tepat. Sikap keras ini hanyalah untuk orang-orang munafiq.
· Pengakhiran untuk manusia-manusia ingkar hanyalah NERAKA.



KESIMPULAN
* Pembinaan dan pembangunan keluarga Muslim. Terutama sekali terlebih dahulu diatur kedamaian rumahtangga, menerima rezeki yang halal dariNYA, kedamaian dalam pergaulan, menerima ni’mat Allah dan tidak mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Suri teladan ialah pada kehidupan Rasulullah saw.

* Peringatan terhadap tiap-tiap yang beriman bagaimana besarnya tanggungjawab memimpin isteri dan anak-anak dalam kehidupan berbakti kepadaNYA

* Peringatan bahawa perjalanan yang panjang ini, mesti terdapat khilaf dan alpa, dosa yang kecil mahupun yang besar. Namun dalam hal ini masih ada peluang dan ruang selagi masih ada iman di dada dan hendaklah kembali serta segeralah bertaubat padaNya dengan TAUBAT NASUHA.
___________________________________

:: Alhamdulillah selesai membentangkan tafsir Surah At Tahrim, ayat 6-9, moga apa yang dibentangkan dapat dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan serta diasimilasikan dalam gerak kerja kita seharian
:: mohon maaf atas kekhilafan serta ketidaksempurnaan pembentangan serta makalah ini. Moga diambil pengajaran dan panduan di hari muka. Moga apa yang dibentangkan ini diterimaNya sebagai bekalan di sana kelak, disamping cita-cita kita untuk melihat ISLAM melata dan merata di muka bumi ALLAH. Ameen.