Friday, February 22, 2008

13 TUNTUTAN GENERASI MUDA UNTUK BAKAL-BAKAL CALON DAN KERAJAAN YANG AKAN DATANG

BISMILLĀHIRRAHMĀNIRRAHĪM
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:

1. Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa Melayu

2. Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3. Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan ‘worldview’, akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum

4. Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapi kepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5. Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6. Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7. Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8. Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9. Menolak Pelabelan ‘Pro Kerajaan’ dan ‘Pro Pembangkang’.

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10. Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da’wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da’wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11. Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang ‘compartmentalization’ tidak melebar.

12. Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremehkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13. Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.


:: Tuntutan ini disokong oleh (akan bertambah semasa ke semasa):

1. Akademi Pemikiran Pelajar Islam (APPIM)
2. Alumni Pelajar Islam SBP (APIS)
3. Ikatan Pengajian Islam Pahang (IKATAN)
4. Kelab Intelektual Muda UIAM
5. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
6. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
7. Kesatuan Pelajar- Pelajar Islam Perak (KPIP)
8. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
9. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING)
10. Kesatuan Pembimbing Insan Terengganu (KEPITAR)
11. Persatuan Pelajar Islam Darul Aman (PERSIDA)
12. Persatuan Pendidikan Islam Negeri Sembilan (PPINS)
13. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
14. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
15. Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan dan
Selangor (PEPIAS)
16. Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT)
17. Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah

Dan individu:
1. Sdr Idzuafi Hadi Kamilan, mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia

No comments: