Thursday, October 22, 2009

SEMINAR PENDIDIKAN TINGGI ISLAM VII

Assalamu'laikum wbt

Yang Bhg Dato' / Datin / Tuan / Puan / Cik :

Dijemput menyertai dan menghadiri

SEMINAR PENDIDIKAN TINGGI ISLAM VII

Tema :
Membina Generasi Ilmuwan Ulu'l Albab

TARIKH : 31 OKTOBER 2009 (SABTU)
MASA : 8.00 Pg - 5.00 Ptg
TEMPAT : AUDITORIUM INSTITUT LATIHAN KEHAKIMAN & PERUNDANGAN
(ILKAP) BANDAR BARU BANGI


Pembentang-pembentang Seminar :

Ucapan Sekapur Sirih:
Dato' Dr. Siddiq Fadzil
Presiden Kolej Dar al-Hikmah

Ucap Utama:
Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan
Profesor, Kuliyyah Usuluddin & Perbandingan Agama UIAM
Mantan Rektor UIAM




Slot 1:"Wawasan Pendidikan al_Hikmah:Pembinaan Generasi Ulu'l Albab"

Pembentang Pertama: Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar
Senior Research Fellow, Pusat Dialog ketamadunan
Timbalan Canselor (Akademik & Antarabangsa)
Pembentang Kedua: Ustaz (Dr) Muhammad Uthman el-Muhammady
Fellow Akademik Kehormat ISTAC, IIUM
Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H



Slot 2: Pendidikan al-Hikmah: Langkah-langkah Ke arah Merealisasikan Pembinaan Generasi Ulu'l Albab
Pembentang Pertama: Prof Dr Nik Azis NIk Pa
Professor , Jabatan Matematik dan Pendidikan Sains, Falukti Pendidikan, UM

Pembentang Kedua:
Prof Dr Ahmad Syathory Ismail
Pensyarah UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta
Ketua Ikatan Da'i Indonesia

Forum: "Cabaran 'Pendidikan Yang Liberalatif"
Panel Forum :
Prof Dr Sidek Baba (Prof. Pendidikan)
Dr. Sarjit Gill (UPM)
Dr Yap Sin Tian (Presiden Diong Jong Zong )
Moderator:
Datuk Sahlan Ismail (JPM)


Yuran Penyertaan
Organisasi : RM95.00
Individu / Pelajar : RM45.00
Pelajar KDH : RM35.00

atau hubungi
03-8925 2392 (Pn Salawati / Pn Zahrah)
(Pn Azizah : 012-2374642)

ANJURAN :
KOLEJ DAR AL-HIKMAH
SG RAMAL DALAM, KAJANG SELANGOR

http://seminarhikmah.blogspot. com/


Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan. "Saidina Ali bin Abi Talib

NGO ANJUR “MALAM PADANG PRIHATIN”



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Persatuan Penggiat Seni Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), LLG Cultural Development Centre Bhd (LLG), dan Tamil Foundation akan menganjurkan “Malam Padang Prihatin” pada 11 November 2009 iaitu pada hari Rabu pukul 8.30 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

Tujuan “Malam Padang Prihatin” ini diadakan adalah untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa tragedi gempa di Padang, Indonesia. Selain itu, penganjuran malam ini juga adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat demi mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin.

Di samping itu, “Malam Padang Prihatin” ini juga telah mendapat sokongan beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang turut bersama-sama membantu untuk memastikan kejayaan penganjuran malam amal tersebut.

Dalam pada itu, “Malam Padang Prihatin” yang akan dianjurkan tersebut juga akan diisi dengan beberapa pementasan menarik yang akan mengenengahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti tarian dan nyanyian kaum, deklamasi sajak & puisi, sketsa, persembahan teater & koir dan sebagainya.

Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk hadir menyaksikan persembahan malam tersebut beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni yang dijalankan ini. Sebagai makluman, keuntungan dari penjualan tiket yang dijual akan disalurkan terus kepada keluarga mangsa Padang, Indonesia.

Bagi yang berminat, pembelian tiket boleh dibuat menerusi Penolong Setiausaha Agung PKPIM Sdr Shahril Effendi Yunos di talian 019-5058580 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, harga tiket yang ditetapkan untuk malam tersebut adalah RM10.00 sekeping.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengharapkan semoga kehadiran anda dapat menjayakan objektif malam amal yang akan dijalankan tersebut untuk mengumpulkan sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia di samping melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-530 3221

IKHLAS®



Keikhlasan Dan Menghadirkan Niat Dalam Segala Perbuatan, Ucapan Dan
Keadaan Yang Nyata Dan Yang Samar
Dibentangkan ketika usrah pertama pimpinan pusat
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
oleh Nor Akmariah Abdullah
Naib Presiden HEWI PKPIM


Allah Ta'ala berfirman:

"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya sama menyembah Allah, dengan
tulus ikhlas menjalankan agama untuk-Nya semata-mata, berdiri turus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang sedemikian itulah agama yang benar." (al-Bayyinah: 5)

Allah Ta'ala berfirman pula:
“ Katakanlah : Aku hanya seorang manusia seperti kamu sahaja yang telah diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Maha Esa. Oleh itu, barangsiapa yang mngharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang shalih dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadat kepada Tuhannya” (Al-Kahfi : 110)

Allah Ta’ala berfirman pula:

“Sesungguhnya Kami turunkan kitab al-Qur’an kepadamu dengan membawa kebenaran. Oleh itu, hendaklah engkau menyembah Allah dengan mentuluskan keta’atan kepadaNya” (Az-Zumar : 2)

“Katakanlah : Sesungguhnya aku telah diperintah supaya menyembah Allah dengan mentuluskan keta’atan kepadaNya” (Az-Zumar : 11)

“Katakanlah : Hanya Allah sahaja yang aku sembah dengan mentuluskan keta’atan kepadaNya dalam agamaku” (Az-Zumar : 14)

Allah Ta'ala berfirman pula:

"Katakanlah - wahai Muhammad, sekalipun engkau semua sembunyikan apa-apa yang ada di dalam hatimu ataupun engkau sekalian tampakkan, pasti diketahui juga oleh Allah." (ali-lmran: 29)


Dari Amirul mu'minin Abu Hafs yaitu Umar bin Al-khaththab bin Nufail bin Abdul 'Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin 'Adi bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-'Adawi r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan bahawasanya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikawininya, maka hijrahnyapun kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu."

(Muttafaq (disepakati) atas keshahihannya Hadis ini)

Penjelasan :

Hadis di atas adalah berhubungan erat dengan persoalan niat. Rasulullah s.a.w. menyabdakannya itu ialah kerana di antara para sahabat Nabi s.a.w. sewaktu mengikuti untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah, semata-mata sebab terpikat oleh seorang wanita yakni Ummu Qais. Beliau s.a.w. mengetahui maksud orang itu, lalu bersabda sebagaimana di atas. Oleh kerana orang itu memperlihatkan sesuatu yang bertentangan dengan maksud yang terkandung dalam hatinya, meskipun sedemikian itu boleh saja, tetapi sebenarnya tidak patut sekali sebab saat itu sedang dalam suasana yang amat genting dan rumit, maka ditegurlah secara terang-terangan oleh Rasulullah s.a.w.

Bayangkanlah, betapa anehnya orang yang berhijrah dengan tujuan mencari wanita
yang ingin dikawin, sedang sahabat beliau s.a.w. yang lain-lain dengan tujuan menghindarkan diri dari amarah kaum kafir dan musyrik yang masih tetap berkuasa di Makkah, hanya untuk kepentingan penyebaran agama dan keluhuran Kalimatullah. Bukankah tingkah-laku manusia sedemikian itu tidak patut sama-sekali. Jadi oleh sebab niatnya sudah keliru, maka pahala hijrahnya pun kosong. Lain sekali
dengan sahabat-sahabat beliau s.a.w. yang dengan keikhlasan hati bersusah payah menempuh jarak yang demikian jauhnya untuk menyelamatkan keyakinan kalbunya, pahalanyapun besar sekali kerana hijrahnya memang dimaksudkan untuk mengharapkan keridhaan Allah dan RasulNya. Sekalipun datangnya, hadis itu mula-mula tertuju pada manusia yang salah niatnya ketika ia mengikuti hijrah, tetapi sifatnya adalah umum. Para imam mujtahidin berpendapat bahwa sesuatu amal itu dapat sah dan diterima serta dapat dianggap sempurna apabila disertai niat.

Perlu pula kita maklumi bahwa barangsiapa berniat mengerjakan suatu amalan yang bersangkutan dengan ketaatan kepada Allah ia mendapatkan pahala. Demikian pula jikalau seseorang itu berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tetapi tidak jadi dilakukan, maka dalam hal ini orang itupun tetap juga menerima pahala. Ini berdasarkan Hadis yang berbunyi: "Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya."
Maksudnya: Berniatkan sesuatu yang tidak jadi dilakukan sebab adanya halangan yang tidak dapat dihindarkan itu adalah lebih baik daripada sesuatu kelakuan yang benar-benar dilaksanakan, tetapi tanpa disertai niat apa-apa.

Dari Abu Hurairah, yaitu Abdur Rahman bin Shakhr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian."
(Riwayat Muslim)

Dari Abu Musa, yakni Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. ditanya perihal seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang dengan tujuan kesombongan - ada yang artinya kebencian - ada pula yang berperang dengan tujuan pameran - menunjukkan pada orang-orang lain kerana ingin berpamer. Manakah di antara semua itu yang termasuk dalam jihad fi-sabilillah?

Rasulullah s.a.w. menjawab:

"Barangsiapa yang berperang dengan tujuan agar kalimat Allah - Agama Islam - itulah
yang luhur, maka ia disebut jihad fi-sabilillah." (Muttafaq 'alaih)

Keterangan:
Hadis di atas dengan jelas menerangkan semua amal perbuatan itu hanya dapat dinilai baik, jika baik pula niat yang terkandung dalam hati orang yang melakukannya. Selain itu dijelaskan pula bahwa keutamaan yang nyata bagi orang-orang yang berjihad melawan musuh di medan perang itu semata-mata dikhususkan untuk mereka yang berjihad fisabilillah, yakni tiada maksud lain kecuali untuk meluhurkan kalimat Allah, yaitu Agama Islam.

Dari Abu Bakrah, yakni Nufai' bin Haris as-Tsaqafi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w.
bersabda:

"Apabila dua orang Muslim berhadap-hadapan dengan membawa masing-masing pedangnya - dengan maksud ingin berbunuh-bunuhan - maka yang membunuh dan yang terbunuh itu semua masuk di dalam neraka." Saya bertanya: "Ini yang membunuh - patut masuk neraka -tetapi bagaimanakah halnya orang yang terbunuh - yakni mengapa ia masuk neraka pula?"

Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Kerana sesungguhnya orang yang terbunuh itu juga ingin sekali hendak membunuh kawannya." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abul Abbas, yaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul Muththalib, radhiallahu
'anhuma dari Rasulullah s.a.w. dalam suatu uraian yang diceriterakan dari Tuhannya
Tabaraka wa Ta'ala - Hadis semacam ini disebut Hadis Qudsi - bersabda:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu - yakni mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk sayyiah. Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh ratus kali lipat, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali. Selanjutnya barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai satu keburukan saja di sisiNya." (Muttafaq 'alaih)

Keterangan:

Hadis di atas menunjukkan besarnya kerahmatan Allah Ta'ala kepada kita semua sebagai ummatnya Nabi Muhammad s.a.w. Renungkanlah wahai saudaraku. Semoga kami dan anda diberi taufik (pertolongan) oleh Allah hingga dapat menginsafi kebesaran belas-kasihan Allah dan fikirkanlah kata-kata ini. Ada perkataan Indahuu (bagiNya), inilah suatu tanda kesungguhan Allah dalam memperhatikannya itu. Juga ada perkataan kaamitah (sempurna), ini adalah untuk mengokohkan artinya dan sangat perhatian padanya. Dan Allah berfirman di dalam kejahatan yang disengaja (di-maksud) akan dilakukan, tetapi tidak jadi dilakukan, bagi Allah ditulis menjadi satu kebaikan yang sempurna dikokohkan dengan kata-kata "sempurna". Dan kalau jadi dilakukan, ditulis oleh Allah "satu Riyadhus Shalihin – Taman Orang-orang Shalih
“kejahatan saja" dikokohkan dengan kata-kata "satu saja" untuk menunjukkan kesedikitannya, dan tidak dikokohkan dengan kata-kata "sempurna".
Maka bagi Allah segenap puji dan kurnia. Maha Suci Allah, tidak dapat kita menghitung pujian atasNya. Dan dengan Allah jualah adanya pertolongan.

Dari Abu Abdur Rahman, yaitu Abdullah bin Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhuma, katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tiga orang dari golongan orang-orang sebelummu sama berangkat bepergian, sehingga terpaksalah untuk menempati sebuah gua guna bermalam, kemudian merekapun memasukinya. Tiba-tiba jatuhlah sebuah batu besar dari gunung lalu menutup gua itu atas mereka. Mereka berkata bahwasanya tidak ada yang dapat menyelamatkan engkau semua dari batu besar ini melainkan jikalau engkau semua berdoa kepada Allah Ta'ala dengan menyebutkan perbuatanmu yang baik-baik.

Seorang dari mereka itu berkata: "Ya Allah. Saya mempunyai dua orang tua yang sudah tua-tua serta lanjut usianya dan saya tidak pernah memberi minum kepada siapapun sebelum keduanya itu, baik kepada keluarga ataupun hamba sahaya. Kemudian pada suatu hari amat jauhlah saya mencari kayu - yang dimaksud daun-daunan untuk makanan ternak. Saya belum lagi pulang pada kedua orang tua itu sampai mereka tertidur. Selanjutnya sayapun terus memerah minuman untuk keduanya itu dan keduanya saya temui telah tidur. Saya enggan untuk membangunkan mereka ataupun memberikan minuman kepada seseorang sebelum keduanya, baik pada keluarga atau hamba sahaya. Seterusnya saya tetap dalam keadaan menantikan bangun mereka itu terus-menerus dan gelas itu tetap pula di tangan saya, sehingga fajarpun menyingsinglah, Anak-anak kecil sama menangis kerana kelaparan dan mereka ini ada di dekat kedua kaki saya. Selanjutnya setelah keduanya bangun lalu mereka minum minumannya. Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang sedemikian itu dengan niat benar-benar mengharapkan keridhaanMu, maka lapanglah kesukaran yang sedang kita hadapi dari batu besar yang menutup ini." Batu besar itu tiba-tiba membuka sedikit, tetapi mereka belum lagi dapat keluar dari gua.

Yang lain berkata: "Ya Allah, sesungguhnya saya mempunyai seorang anak paman wanita - jadi sepupu wanita - yang merupakan orang yang tercinta bagiku dari sekalian manusia - dalam sebuah riwayat disebutkan: Saya mencintainya sebagai kecintaan orang-orang lelaki yang amat sangat kepada wanita - kemudian saya menginginkan dirinya, tetapi ia menolak kehendakku itu, sehingga pada suatu tahun ia memperoleh kesukaran. lapun mendatangi tempatku, lalu saya memberikan seratus duapuluh dinar padanya dengan syarat ia suka menyendiri antara tubuhnya dan antara tubuhku -maksudnya suka dikumpuli dalam seketiduran. Ia berjanji sedemikian itu. Setelah saya dapat menguasai dirinya - dalam sebuah riwayat lain disebutkan: Setelah saya dapat duduk di antara kedua kakinya - sepupuku itu lalu berkata: "Takutlah engkau pada Allah dan jangan membuka cincin - maksudnya cincin di sini adalah kemaluan, maka maksudnya ialah jangan melenyapkan kegadisanku ini - melainkan dengan haknya - yakni dengan perkawinan yang sah -, lalu sayapun meninggalkannya, sedangkan ia adalah yang amat tercinta bagiku dari seluruh manusia dan emas yang saya berikan itu saya biarkan dimilikinya. Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang sedemikian dengan niat untuk mengharapkan keridhaanMu, maka lapangkanlah kesukaran yang sedang kita hadapi ini." Batu besar itu kemudian membuka lagi, hanya saja
mereka masih juga belum dapat keluar dari dalamnya.

Orang yang ketiga lalu berkata: "Ya Allah, saya mengupah beberapa kaum buruh dan semuanya telah kuberikan upahnya masing-masing, kecuali seorang lelaki. Ia meninggalkan upahnya dan terus pergi. Upahnya itu saya perkembangkan sehingga ber-tambah banyaklah hartanya tadi. Sesudah beberapa waktu, pada suatu hari ia mendatangi saya, kemudian berkata: Hai hamba Allah, tunaikanlah sekarang upahku yang dulu itu. Saya berkata: Semua yang engkau lihat ini adalah berasal dari hasil upahmu itu, baik yang berupa unta, lembu dan kambing dan juga hamba sahaya. Ia berkata: Hai hamba Allah, janganlah engkau memperolok-olokkan aku. Saya menjawab: Saya tidak memperolok-olokkan engkau.

kemudian orang itupun mengambil segala yang dimilikinya. Semua digiring dan tidak seekorpun yang ditinggalkan. Ya Allah, jikalau saya mengerjakan yang sedemikian ini dengan niat mengharapkan keridhaanMu, maka lapangkanlah kita dari kesukaran yang sedang kita hadapi ini." Batu besar itu lalu membuka lagi dan merekapun keluar dari gua itu. (Muttafaq 'alaih)

Keterangan:

Ada beberapa kandungan yang penting-penting dalam Hadis di atas, yaitu:

(a) Kita disunnahkan berdoa kepada Allah di kala kita sedang dalam keadaan yang sulit,misalnya mendapatkan malapetaka, kekurangan rezeki dalam kehidupan, sedang sakit dan lain-lain.

(b) Kita disunnahkan bertawassul dengan amal perbuatan kita sendiri yang shalih, agar kesulitan itu segera lenyap dan diganti dengan kelapangan oleh Allah Ta'ala. Bertawassul artinya membuat perantaraan dengan amal shalih itu, agar permohonan kita dikabulkan olehNya. Bertawassul dengan cara seperti ini tidak ada seorang ulamapun yang tidak membolehkan. Jadi beliau-beliau itu sependapat tentang bolehnya. Juga tidak diperselisihkan oleh para alim-ulama perihal bolehnya bertawassul dengan
orang shalih yang masih hidup, sebagai-mana yang dilakukan oleh Sayidina Umar r.a. dengan bertawassul kepada Sayidina Abbas, agar hujan segera diturunkan.
Yang diperselisihkan ialah jikalau kita bertawassul dengan orang-orang shalih yang sudah wafat, maksudnya kita memohonkan sesuatu kepada Allah Ta'ala dengan perantaraan beliau-beliau yang sudah di dalam kubur agar ikut membantu memohonkan supaya doa kita dikabulkan. Sebagian alim-ulama ada yang membolehkan dan sebagian lagi tidak membolehkan. Jadi bukan orang-orang shalih itu yang dimohoni, tetapi yang dimohoni tetap Allah Ta'ala jua, tetapi beliau-beliau dimohon untuk ikut membantu mendoakan saja. Kalau yang dimohoni itu orang-orang yang sudah mati, sekalipun bagaimana juga shalihnya, semua alim-ulama Islam sependapat bahwa perbuatan sedemikian itu haramhukumnya. Sebab hal itu termasuk syirik atau menyekutukan sesuatu dengan Allah Ta'ala yang Maha Kuasa Mengabulkan segala permohonan. Namun demikian hal-hal seperti di atas hanya merupakan soal-soal furu'iyah (bukan akidah pokok), maka jangan hendaknya menyebabkan retaknya persatuan kita kaum Muslimin.

Kesimpulannya :

ketulusan dalam menunaikan suatu pekerjaan merupakan landasan utama yang dapat menghantarkan pelakunya kepada keberhasilan. Maka, menjadi keharusan bagi setiap orang yang menerjuni bidang dakwah agar menanamkan ketulusan dalam kalbunya saat menunaikan dakwahnya dan berniat suci hanya kerana mengharapkan pahala serta keredhaan Allah semata-mata dalam pekerjaanya.
Jangan sesekali melirikkan pandangan matanya kepada perolehan duniawi yang bakal diraihnya: kerana harta-benda duniawi itu pada akhirnya pasti hancur dan lenyap. Sehubungan dengan hal ini Allah telah menyebut dalam kitabNYa melalui ayat-ayat berikut:

“Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu” (Al-Furqan:57)

“Katakanlah: Upah apa pun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu” (Saba’ :47)

Untuk itu, janganlah seorang dai’e menginginkan dakwahnya untuk mengejar sesuatu baik berupa kedudukan, pangkat, status melainkan yang diharapkan dari pekerjaannya sebagai dai’e hanyalah kerana meraih REDHA ALLAH YANG MAHA ESA semata-mata dan hendaklah motto yang dijunjungnya ialah :
Ambilah semua harta kalian, Biarkanlah hatiku bebas merdeka sendirian
Kerana sesungguhnya aku, Adalah orang yang paling berharta antara kalian
Meskipun kalian mengiraku, seorang yang menyendiri lagi tidak punyai apa-apa


Rujukan :

Al-Qur’anul Karim
Tafsir Fi Zilalil Qur’an, karangan Asy-Syahid Syed Qutb Rahimahullah
Riyadul Salihin, karangan Iman Nawawi
Renungan Seni Berdakwah, Dr Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni

Tuesday, September 1, 2009

Perutusan Kemerdekaan Oleh Presiden PKPIM

Abad ini telah menyaksikan dunia Islam telah mengalami proses untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Akan tetapi perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di setengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murninya yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.



Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin dengan tujuan untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.



Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.



Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.



Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.



Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.



Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.



Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada pemikiran dan jiwa yang bebas serta asal usul budaya. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.



Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.



Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.



Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.



Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.



Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.



Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.





Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.



Dari Robohan Kota Melaka,

Kita Bina Jiwa Merdeka,

Bersatulah Seluruh Baka,

Membela Keadilan Warisan Pusaka...



Muhammad Faisal Abdul Aziz (860813-38-5543)

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Thursday, August 13, 2009

ISTIADAT KONVOKESYEN UNIVERSITI MALAYA



bersama ibu tercinta














alhamdulillah, dah selesai juga pengajianku di peringkat ijazah sarjana muda. sekarang aku bercita-cita untuk belajar sampai ke akhir hayat. semasa muktamar sanawi ABIM PUSAT baru-baru ni, Dr Rahmah, mantan Ketua HELWA ABIM berkata kepadaku ketika bersalaman ukhuwwah dengannya. "akmar, belajar sampai PhD, ummat perlukan insan seperti kita." fuh, semangat aku berkobar-kobar masa tu. aku belajar bukan aku sorang je nak berjaya , tapi aku mahu ummatku serta bangsaku berjaya bersama-sama.

Monday, August 10, 2009

JENAYAH DI KALANGAN PELAJAR WANITA MAKIN MEMBARAH



Statistik dikalangan jenayah dikalangan pelajar perempuan amat membimbangkan sejak kebelakangan ini. Jika dahulu kita dikejutkan dengan perbuatan pelajar perempuan menendang guru, merokok, pergaulan bebas sehingga terjebak lebih jauh lagi kepada seks bebas atau berzina. Dan paling menyedihkan sehingga melahirkan anak luar nikah pada usia yang sangat muda.

Dan kini permasalahan jenayah serta salah laku pelajar perempuan semakin menghadapi tahap yang kronik yang kritikal di mana pelajar wanita sudah berani terlibat dengan penyalahgunaan dadah seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia semalam. Di mana, seorang pelajar perempuan tingkatan satu adalah antara 15 yang ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta malam semalam. Remaja berusia 13 tahun itu ditahan bersama-sama teman lelakinya yang berusia 20 tahun setelah ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.

Apakah akar permasalahan remaja atau pelajar perempuan di Malaysia sekarang? Adakah sistem pendidikan kita tidak relevan atau rapuh dalam melahirkan pelajar perempuan yang beradab serta mempunyai jatidiri yang mulia dan disegani. Sebagai persatuan pelajar yang bersifat kebangsaan, Majlis HEWI PKPIM memandang perkara ini perlu ditangani dengan segera dan bijaksana. Kerjasama dari semua pihak, ibu bapa, guru-guru serta kementerian serta pertubuhan yang bertanggungjawab perlulah bersama-sama memainkan peranan masing-masing.

Pendidikan awal dari rumah khususnya membentuk peribadi pelajar ini perlulah dibentuk sebaiknya, pendidikan di sekolah, matrikulasi serta di peringkat universiti perlu diperkasakan dari segi penerapan nilai-nilai murni kehidupan insani. Falsafah pendidikan perlulah difahami serta dihadami oleh semua pihak secara maknawinya bukan hanya dari istilahinya. Pendidikan ini bukanlah mengajar atau memberi maklumat semata-mata tetapi mendidik, mengasuh dan memupuk seseorang itu sehingga benar-benar menjadi insan yang kamil. Benar, memanusiakan manusia atau menginsanikan insan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Dengan itu, penelitian serta penambahbaikan sistem pendidikan kita khususnya pendidikan remaja perempuan dari pelbagai aspek. Antara aspek yang perlu ditekankan adalah dari segi emosi, intelek dan spiritual agar kita benar-benar mampu melainkan remaja wanita yang menjadi harapan negara, bangsa dan agama di masa akan datang seperti kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Sehubungan dengan itu, HEWI PKPIM berpendapat golongan generasi muda perlu dilibatkan bersama dalam menangani masalah yang melanda remaja perempuan ini. Berkemungkinan generasi sekarang memahami keperluan generasi sezamannya., jadi HEWI PKPIM merasakan perlunya penglibatan generasi muda dilibatkan bersama dalam memikirkan solusi yang terbaik bagi menangani permasalahan ini.

Selain itu, HEWI PKPIM berpendapat bahawa kita perlu memantapkan kembali institusi kekeluargaan yang kian rapuh serta makin luntur dari segi peranannya. Pendidikan kekeluargaan perlulah diterapkan sebelum perkahwinan lagi supaya pasangan yang bakal berkahwin dapat memahami tanggungjawab serta peranan mendidik anak-anak yang sebenarnya. Pemahaman serta ilmu kekeluargaan, menangani emosi dan masalah serta psikologi kanak-kanak dan remaja perlu manjadi teras-teras utama dalam pendidikan negara sama ada secara formal atau bukan formal.Pendidikan kekeluargaan ini bukan sahaja tertumpu pada wanita semata-mata tapi peranan lelaki juga perlu diperkasakan.


Justeru itu, HEWI PKPIM berpandangan sistem pendidikan kita sama ada secara formal atau tidak perlu diteliti semula serta diperkasakan dengan menitikberatkan soal-soal yang menjadi punca permasalahan pelajar sekarang terutamanya pelajar wanita.

Oleh,
Nor Akmariah Abdullah
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

SAFF PIMPINAN PKPIM PUSAT 2009/2010


PENERAJU GENERASI BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR DAN

GENERASI PENJANA TAMADUN KHAYRA UMMAH



PRESIDEN : MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

TIMBALAN PRESIDEN : MOHD AKMAL AFIQ MOHAMAD

NAIB PERSIDEN KEBANGSAAN : HASNUL HANIFF HARUN

NAIB PRESIDEN ANTARABANGSA : ABU QASSIM NOR AZMI

NAIB PRESIDEN HEWI : NOR AKMARIAH ABDULLAH

SETIAUSAHA AGUNG : KHAIRUL ANUAR MUSA

BENDAHARI KEHORMAT : NUR SYAFAFWATI MOHD SHAHIMI



EXCO-EXCO :

Ahmad Fahmi Bin Mohd. Samsudin

Muhammad Safwan Bin Mohd. Noor Azmi

Azizan Bin Ajiji

Mohd. Shahril Effendi Bin Mohd. Yunus

Wan Mohd Wasif Wan Mohammad

Hafiz Hakimi Harun

Mohd Fazril Salleh

Mohd Shazni Abdullah

Sharifah Sumayyah Syed Malick

Nur Izzah Khanani Mohd Musleh

Lina Mursyidah Hamzah

Aemy Ilyani Md Zain

Fatin Nurmajdina Nordin

Siti Nur Sakinah Budiman

Wednesday, August 5, 2009

Mahasiswa Islam berdakwah atau berpolitik?

Oleh Saifuddin Abdullah

DALAM tempoh dua minggu ini, terdapat dua program penting melibatkan mahasiswa Islam.Pertama, pelancaran Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai lalu.

Program kedua ialah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 8 Ogos ini. Ia dianjurkan sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM Ke-48 dan pelancaran buku PKPIM, Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011).


Kelab Damai IPTA ialah program terbaru DAMAI yang diperbadankan pada 2006. DAMAI ialah sebuah organisasi masyarakat sivil Islam. Ia bertujuan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama gerakan Islam melalui satu gagasan bagi mencapai matlamat kecemerlangan semua bidang dan aktiviti dalam lingkungan syariah.

Kelab Damai IPTA berfungsi sebagai perantara persatuan Islam di kampus dengan penyaluran bantuan dan sokongan untuk aktivitinya. Ia berperanan merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi membantu memperkasa persatuan-persatuan tersebut.

Penubuhan kelab ini selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 apabila mahasiswa dibenarkan bergabung dengan organisasi luar kampus. Bagi PKPIM – yang hampir terkubur akibat pindaan AUKU (1975) – program MPAT kembali memungkinkan mahasiswa Islam menghadirinya.

Pindaan AUKU (2009) kelihatan menjanjikan gerakan mahasiswa Islam yang makin rancak. Tetapi adakah kerancakan itu akan menyamai atau mengatasi zaman keemasan gerakan mahasiswa era 1960-an hingga 1974? Adakah ia akan menandingi kerancakan ketika melonjaknya era dakwah kampus mulai 1970-an? Atau, adakah ia akan menghasilkan sesuatu yang baru? Hanya gerakan mahasiswa Islam yang ada jawapannya.

Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar Islam di Malaysia bermula pada 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Asia Barat. Mereka dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang memulakan gerakan keilmuan Islam ke arah pembangunan sosioekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.

Tetapi, jika menggunakan istilah “mahasiswa Islam”, tanda permulaan misalnya boleh merujuk kepada peranan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), yang antara sumbangan awalnya ialah mendesak kerajaan membina masjid berhampiran kampus tersebut.

Ini diikuti dengan penubuhan PKPIM di Asrama Kedua UM pada 1961. Tujuan asalnya ialah menggabungkan semua persatuan pelajar Islam selain menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini dengan persatuan pelajar Islam luar negara.

PKPIM ditubuhkan kerana merasakan dua buah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan yang sedia wujud ketika itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan mahasiswa dan pelajar Islam.

Ketiga-tiga persatuan mahasiswa dan pelajar di peringkat kebangsaan ini menjadi sebahagian gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu badan induk bagi gerakan belia.

Sedekad selepas penubuhannya, iaitu pada 1971, PKPIM bersama-sama dengan PMIUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), menjadi pelopor program Gerakan Kempen Kesedaran (GKK). Ia untuk menimbulkan kesedaran mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati pembangunan negara dan menyampaikan dakwah serta menekankan keperluan perubahan sikap sesuai dengan tuntutan masa.

Pada tahun yang sama, PKPIM menganjurkan seminar yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam. Seminar itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya, yang kemudiannya menjadi dewan besar Kampus Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila ditubuhkan kira-kira sedekad kemudian.

Apabila AUKU dipinda pada 1975, PKPIM bingkas menentangnya, dan sehinggalah AUKU dipinda pada 2009, ia merupakan pertubuhan pelajar paling lama dan konsisten perjuangannya berhubung AUKU. Mutakhir, dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai lalu, antara lain, terdapat ‘saham’ PKPIM di dalamnya.

Namun, sumbangan terpenting ialah penyuburan program dakwah dan tarbiah serta tradisi intelektual Islam di kalangan mahasiswa.


Menjelang dekad kelima kewujudannya, Presidennya, Mohd Hilmi Ramli berkata, kongres pada Sabtu ini bertujuan memberi makna dan kefahaman jelas akan teras-teras kenegaraan dalam mendepani isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia. Ia juga untuk merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat.

Kongres ini juga ingin mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan “1Malaysia” dan gagasan “Politik Baru”.

Sejak bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sering diajukan dengan soalan: Apakah sebenarnya teras pendekatan gerakan mahasiswa Islam – berdakwah atau berpolitik?

Saya tidak pasti apakah soalan ini sebagai mengimbau frasa yang dipopularkan bekas Ketua Dewan Dakwah Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir, “berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah”, atau dibuat atas niat lain.

Pada saya, umumnya gerakan mahasiswa Islam kita adalah berteraskan dakwah dan tarbiah. Ada yang turut membicara dan menyuarakan soal-soal politik. Dalam hal ini, kita perlu menganalisisnya dengan kebenaran dan keadilan.

Sebagai contoh, ia tidak bertentangan dengan AUKU (2009). Kita juga tidak mahu jika ia langsung tidak mempedulikan politik. Begitu juga, ada perbezaan antara suara politik kepartian dengan politik non-partisan.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengehakupayakan gerakan mahasiswa Islam dalam memenuhi makna ayat al-Qur‘an: “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Al-Kahfi: 13)

DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH ialah

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Friday, July 24, 2009

PKPIM ANJUR KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.

Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.

PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.

Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.

Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.

Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;

1. ”Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”

Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM

Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM

2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM

3. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM

4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM

Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.

PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.

Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.

Oleh:

KHAIRUL ANWAR SHAZALI

Setiausaha Agung PKPIM

Merangkap;

Pengerusi Jawatankuasa Induk

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan

Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009

Tuesday, June 23, 2009

SURAT UNTUK PEJUANG

Muqaddimah

Alhamdulillah, lafaz syukur dan tahmid kehadrat Illahi kerana dengan izinNya jua kita dapat bersua di Tamrin Qiyadiy Kebangsaan 2009. Selawat dan salam buat Penghulu segala Nabi, Muhammad s.a.w, para keluarga dan sahabat baginda. Bertemu dan berkumpulnya kita di Tamrin Qiyadiy kali ini merupakan satu peluang untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Setelah sekian lama kita berada di keluarga besar PKPIM dan yang begitu signifikan kita berada di aliran dakwah ini apakah sumbangan yang telah kita usahakan untuk memastikan Islam terus berada di dalam kemuliaan. Tamrin Qiyadiy merupakan usaha kita kembali ke pengkalan untuk melihat sejauh mana perjalanan dakwah kita, melihat kembali janji-janji yang pernah kita lafazkan dan mengisi kembali dada kita dengan ilmu, menyemarakkan amalan kerohaniaan yang setelah sekian lama kita kesampingkan. Kita tidak mahu dikategorikan sebagai golongan yang disebut oleh Imam Al-Ghazali sebagai pendakwah yang Khathiri ‘n-nashat, galili ‘l fiqh – hanya banyak aktiviti tetapi dangkal ilmu dan kefahaman. Justeru, marilah kita bersama-sama mempasakkan kembali niat yang ikhlas kita untuk berkampung di sini dengan harapan kita dapat membaiki diri, amalan dan menambahkan ilmu kita demi mencari keredhaan Allah Taala dan RasulNya.

“ Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
Surah Muhammad : ayat 7

Ba’da salam dan tahmid,

Saudaraku, yang insyaAllah dimuliakan oleh Dzat yang Maha Mulia, ku berharap semoga sahabat semua berada dalam lindungann Allah. Senantiasa bersyukur dan bersabar atas segala yang telah diberikanNya kepada kita. Kita yang lemah dan tidak berdaya., meskipun hanya untuk mengatur detak jantung dan hembusan nafas ini. Semoga kita menjadi hambaNya yang pandai mencuri perhatianNya dan menjadi kekasihNya. Kita berharap agar apa sahaja yang kita lakukan dalam seharian kita senantiasa sesuai dengan petunjukNya dan petunjuk RasulNya. Berserah diri dengan segala ketentuanNya dan menjadi penjuang untuk membela agamaNya.

Saudaraku, ayat pembuka dalam surat ini semoga selalu mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita dalam menegakkan Islam dan meninggikan agama Allah ini, bukanlah sia-sia. Semoga ayat ini tertanam kuat dalam hati dan fikiran kita, agar perjuangan dakwah Islam ini senantiasa menjadi tujuan utama dalam kehidupan kita. Sekaligus menghibur kita bahawa apa yang kita lakukan menjadi sebahagian dari amalan yang akan memberatkan hitungan amal baik kita di Akhirat nanti.

Saudaraku seperjuangan, tidak ada kata henti dalam hidup kita untuk senantiasa melakukan amal baik. Seharusnya memang tidak pernah ada pula keluh kesah dalam perjuangan dakwah ini. Semestinya pun tidak keluar dari mulut kita kata putus asa kerana begitu banyak perjuangan dakwah yang memerlukan perhatian kita. Yakinlah, Allah SWT tidak pernah dan tidak akan salah mengkalkulasi amalan baik kita. Mungkin kita sudah lupa berapa amal baik yang kita telah kerjakan, tetapi Allah tidak akan pernah lalai mencatatnya dan menghitungnya untuk bekalan kita di negeri abadi kelak. Begitu pun pasti kita lupa berapa banyak amalan buruk yang pernah kita lakukan, tapi Allah pasti tidak akan pernah lupa dan akan dengan mudah mencatatnya. Tapi kita memohon kepadaNya, agar tetap diberikan kekuatan untuk melakukan amalan baik selama hidup kita. Sebanyak mungkin.

Saudaraku yang telah memberikan perhatian dan tenaganya untuk dakwah Islam, masih ingatkah kalian ketika pertama kali kita belajar Islam? Kita bahkan mengeja nama Allah dengan amat susah. Kita tidak faham tentang isi Al-Quran, kita tidak mengerti apa erti apa perjuangan dakwah, kita bahkan buta dan tak pernah tahu dari mana kita berasal, untuk apa kita hidup di dunia dank e mana akan pergi setelah kematian. Aku pernah merasakan demikian, dan aku yakin di antara kita, bahkan ada yang pernah melakukan kemaksiatan sebelum akhirnya mendapat hidayahNya. Aku yakin di antara kita bahkan pernah menolak ajakan dakwah dari seseorang. Mengejek pelakunya dan menganggap sia-sia perbuatan mereka. Itu ketika kita tahu.

Semoga memori tentang ini menjadikan kita manusia yang bijak. Pengembang dakwah yang peka dan mampu menangkap segala isi manusia sebagai objek dakwah. Kita tumbuh menjadi pengembang dakwah dan pejuang Islam yang sabar dan penuh kelembutan. Jika kita berhadapan dengan objek dakwah yang menolak, bahkan menyerang kita, dan anggaplah bahawa mereka seperti kita dulu yang juga menolak sentuhan kuat orang yang tidak bosan mengajak kita menjemput hidayahNya. Jangan pernah merasa menilai ummat ini telah jumud, jika kita sendiri belum semaksimal mengajaknya menjadi lebih baik. Tidak perlu mengampuni usaha kita yang gagal dengan alasan umat sudah bosan dengan dakwah. Lalu kita merasa benar sendiri dan menyalahkan mereka…


Bersangka Baik dan Berlapang Dada


Lantaran seorang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Di antara sifat-sifat orang beriman ialah mereka sama-sama memberikan peringatan tentang kebaikan dan kesabaran.

Dari Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus ad-Dari r.a, Nabi s.a.w bersabda;

“Agama adalah nasihat”. Kami bertanya; “Untuk siapa?”. Kata Baginda; “Untuk Allah, kitabNYA, RasulNYA, pemimpin-pemimpin umat Islam keseluruhannya”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebagai pimpinan dan ahli di dalam gerakan yang tercinta ini, budaya menasihati perlu dikembalikan. Mustafa Mashyur di dalam bukunya Jalan Dakwah : Antara Qiadah dan Jundiyyah menyebutkan dalam memberikan nasihat, perlu mempunyai adab dan berhikmah.

1. Berilah nasihat dalam sebaik-baik bentuk dan terimalah dalam apa jua bentuk.
2. Sesiapa yang menasihati saudaranya secara rahsia maka ia telah menasihatinya dan mengelokkannya dan sesiapa yang memberi peringatan kepada saudaranya secara terang maka ia telah membuka tembelangnya dan memburukkannya.

Ciri – Ciri Penting Dai’e

1. Pertama-tama, sebelum segala-galanya bermula, ikhlaskanlah niat kerana
Allah Taala semata-mata. Tanpa keikhlasan, segala urusan akan runtuh dan
musnah.

2. Menjiwai betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Dengan
itu dia akan memberikan perhatian yang selayaknya dengan tugas tersebut
dan dalam masa yang sama merasai ganjaran yang tidak ternilai menantinya.

3. Melaksanakan tugas dengan bijaksana, pandai memilih uslub
(pendekatan), memberi tunjuk ajar dan menasihati yang baik serta berbincang
dengan cara yang terbaik.

4. Hendaklah bersikap ramah mesra, mempermudahkan urusan dan memiliki
akhlak yang baik. Semua ini dilakukan dengan sabar, lemah lembut (tidak
cepat marah), mengharapkan pembalasan di sisi Allah hasil daripada
rintangan yang dihadapi ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah, dan
menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para daie yang mengikuti jejak
langkah Baginda s.a.w.

5. Memahami selok belok cara hidup dan budaya masyarakat yang dia
berkecimpung di dalamnya. Juga memahami aliran pemikiran dan isu-isu
yang berlaku di dalam masyarakat, serta berusaha untuk mengenali dengan
lebih mendalam mad’u yang didakwahnya.
6. Mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam
untuk dijadikan bekalan. Dia akan mendapati di dalamnya terdapat pelbagai
bentuk penyelesaian masalah yang mampu membantunya menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil
oleh generasi muslimin yang pertama.

7. Menghafaz al-Quran sebanyak yang mampu untuk dijadikan dalil dalam
kerja-kerja dakwahnya. Pendekatan melalui kisah-kisah yang terdapat di
dalam al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam jiwa.

8. Dalam setiap perbualan dan perbincangan, unsur akal (kefahaman dan
logik) hendaklah dipandukan dengan unsur perasaan dan kejiwaan.
Sesungguhnya membangkitkan unsur perasaan dan kejiwaan akan
mempersiapkan akal untuk menerima apa yang disampaikan kepadanya dan
meninggalkan kesan.

Renungan
Dengan mengandaikan seorang da’ie hanya mampu mendakwah 2 orang mad’u sehingga berjaya dalam masa setahun, maka di tahun kedua akan akan berlaku 3 orang daie mendakwah 6 orang mad’u. Tahun ketiga pula 9 orang daie mendakwah 18 orang mad’u. Tahun keempat pula 27 orang daie mendakwah 54 orang mad’u. Tahun kelima pula 81 orang daie mendakwah 162 orang mad’u. Tahun keenam pula 243 orang daie mendakwah 486 orang mad’u. Tahun ketujuh pula 729 orang daie mendakwah 1458 orang mad’u. Tahun kelapan pula 2187 orang daie mendakwah 4374 orang mad’u. Tahun kesembilan pula 6561 orang daie mendakwah 13122 orang mad’u. Tahun kesepuluh pula 19683 orang daie mendakwah 39366 orang mad’u. Begitulah seterusnya. Pada tahun kelima belas bilangan daie mencapai jumlah 4,782,969 orang dengan mad’u seramai 9,566,938 orang. Pada tahun ketujuh belas kita memiliki 43,046,721 orang daie. Ini bermakna seluruh penduduk Malaysia berada di peringkat daie dan tiada seorang pun yang menjadi mad’u. Sekiranya kita mengandaikan seorang daie mampu mendakwah 3 orang mad’u sehaja dalam masa setahun sehingga berjaya, maka di tahun kelima kita mempunyai 256 orang daie dan 765 orang mad’u. Pada tahun kesepuluh pula bilangan daie meningkat kepada 262,144 dan mad’u pula seramai 786,432 orang. Pada tahun keempat belas kita memiliki 67,108,864 orang daie. Bayangkanlah betapa berkesannya dakwah fardiah apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Ingatlah kita hanya disuruh beramal dan natijahnya terserah kepada Allah.

Khulasah

Natijahnya, kewajipan kita terlalu banyak sehingga masa yang diperlukan tidak mencukupi sebagaimana yang dikatakan oleh As-Syahid Hasan al-Banna. Begitu juga dengan Dr Yusuf Al-Qardhawi, jika hal atau permasalah ummat itu hanya satu, cukuplah aku seorang yang menyelesaikannya tetapi masalah ummat terlalu banyak sehingga memerlukan tenaga yang ramai. Ummat dahagakan khidmat saudara. Rasailah denyut nadi ummat yang sedang menderita. Saya menyeru sahabat-sahabat agar menginfakkan diri untuk ummah dan agama kerana jika kita tidak menginfakkan diri sekarang, belum tentu datangnya peluang kedua. Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan di sini (PKPIM), di mana lagi. Kalau bukan sahabat-sahabat, siapa lagi. Fikir-fikirkanlah.


Selamat bertamrin
Nor Akmariah Abdullah
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI), Sesi 2008/2009

Friday, May 8, 2009

MUDAHNYA TERPEDAYA!!!

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.


“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

KES KEDUA

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

APA KOMEN ANDA? PRIHATINKAH ANDA?

Pentingnya qudwah dalam hidup remaja


Oleh: DR. SIDEK BABA

UMAT Islam di Malaysia merayakan ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. sebagai hari yang amat istimewa. Perjuangan Rasulullah dikenang dan pengorbanannya diingati. Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai pembawa rahmat yang sifatnya alamiah.

Peribadinya disebut-sebut sebagai peribadi yang terbaik. Akhlaknya dirujuk sebagai akhlak teladan. Pada Rasulullah terdapat qudwah (contoh) untuk dijadikan sumber ikutan.

Para remaja hari ini tentu memerlukan contoh ikutan dalam hidup. Selain ibu bapa yang sering dijadikan sumber teladan, para remaja juga amat suka kepada personaliti yang mempunyai daya selebriti seperti artis, pelakon, ahli-ahli sukan dan juga penghibur. Tetapi fitrah remaja akhirnya memerlukan contoh atau qudwah yang lebih kekal dan mendukung nilai-nilai fitrah yang tinggi.

Rasulullah mewakili imej teladan terbaik. Baik pada zaman kanak-kanak mahupun remaja atau setelah diangkat sebagai Rasul pilihan. Peribadi dan akhlaknya amat terserlah dan berjaya memikat hati manusia yang ingin mencari kebenaran dan keabadian.

Para remaja harus melihat konteks qudwah Rasulullah s.a.w. dalam perspektif yang luas. Tidak saja ia merentasi zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua malah selepas wafatnya.

Sejak kanak-kanak lagi, Muhammad terkenal sebagai anak penggembala kambing. Ia suka mengasing diri, melakukan uzlah dan tidak mahu terlibat dalam amalan syirik menyembah berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Ia memiliki rasa jujur yang tinggi dan keikhlasan untuk mencari kebenaran.

Semasa mudanya minat kepada berniaga amat besar. Ia membawa dagangan Siti Khadijah ke Yaman dan Syam (Syria). Kejujurannya dalam mengendalikan dagangan Siti Khadijah menyebabkan Siti Khadijah amat tertarik dengan dirinya.

Apabila Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama, Siti Khadijah memberikan kekuatan semangat yang luar biasa kepadanya. Rasulullah s.a.w. mempunyai jiwa yang kental untuk memperjuangkan kebenaran. Di tengah-tengah masyarakat jahiliah bergelumang dengan amalan fahsyak dan mungkar, Rasulullah tampil membawa risalah tauhid bagi membebaskan kaumnya dari amalan syirik.

Apabila berdakwah dengan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak melindunginya di Mekah tetapi masih dengan ajaran lamanya, didekati dengan kasih sayang dan hikmah. Rasulullah s.a.w. amat insaf bahawa melakukan dakwah terhadap bapa saudaranya adalah tuntutan Allah tetapi yang memberi hidayah adalah urusan Allah jua.

Rasulullah amat dibenci oleh seorang perempuan Yahudi. Setiap kali Rasulullah lalu di hadapan rumahnya, ia membaling sampah ke arah Rasulullah. Rasulullah menerima ujian itu dengan sabar. Suatu ketika apabila ia lalu di hadapan rumah perempuan itu, ia tidak di baling lagi lalu Rasulullah bertanya apa yang telah terjadi kepada perempuan itu kepada jirannya. Jirannya menyatakan perempuan Yahudi itu sedang sakit.

Dengan izin, Rasulullah menjengah ke rumah perempuan tersebut dan perempuan Yahudi itu amat terkejut melihat orang yang dibencinya siang dan malam datang menziarahinya. Kekaguman perempuan Yahudi terhadap pekerti Rasulullah membawanya kembali kepada fitrah iaitu menganut agama Islam.

Rasulullah s.a.w., seorang yang tegas dalam pendirian terutama yang melibatkan persoalan akidah. Apabila kelompok Abu Jahal dan Abu Lahab berasa amat tertekan dengan dakwah Rasulullah yang memenangi ramai pengikut mereka melakukan strategi memenangi hati Rasulullah dengan tawaran pangkat dan jawatan.

Rasulullah menyatakan kepada mereka bahawa sekiranya diletakkan matahari di tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya supaya ia memberhentikan ajakan dan seruan, Rasulullah s.a.w. akan terus berjuang bagi mengembalikan akidah Islamiah terhadap yang syirik.

Dalam mengatur strategi, Rasulullah amat teliti memilih orang-orang yang dipercayainya. Bila berada di Gua Thur, Rasulullah s.a.w. memilih Abu Bakar sebagai teman yang amat dipercayai terutama dalam saat yang kritikal.

Anak-anak Abu Bakar seperti Abdallah dan Asmak amat membantu daripada segi maklumat risikan dan juga bekalan makanan.

Semasa di Madinah, Rasulullah mengatur strategi bijak untuk mempertautkan ukhuwah atau persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Ia membantu Rasulullah dalam memberikan asas kestabilan terhadap Madinah dan akhirnya mampu membangunkan sebuah kota contoh.

Dalam usaha pertama untuk kembali semula ke Mekah, Rasulullah disekat di Hudaibiah. Berlaku perundingan supaya Rasulullah dan rombongannya datang pada tahun berikutnya.

Saidina Omar sahabat Nabi amat menentang cadangan itu. Rasulullah menerima cadangan itu secara positif kerana kesediaan kelompok Mekah menerima rombongan Nabi Muhammad untuk datang pada tahun berikutnya adalah suatu kemenangan moral.

Jejak-jejak sirah ini apabila diteliti oleh remaja boleh menimbulkan keinsafan betapa seorang tokoh terbilang seperti Rasulullah s.a.w. mempunyai hemah dan wibawa yang tinggi dalam memperjuangkan risalah kerasulannya sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Islam yang dibawanya dikembangkan oleh para sahabat, para tabie dan tabien dengan menjadikan Madinah sebagai model tamadun dan akhirnya tegak tamadun Abbasiah yang cemerlang dan menghasilkan Andalusia yang gemilang.

Selama hampir tujuh abad Islam menyumbang terhadap tamadun dunia sewajarnya menjadi renungan kepada remaja pada hari ini. Tamadun yang berlangsung tidak saja memberi keutamaan terhadap akhlak mulia dan dalam masa yang sama ia membangunkan kekuatan ilmu yang bersifat naqliah (wahyu) dan juga ilmu yang bersifat akliah iaitu pemikiran.

Integrasi di antara kedua-dua ilmu tersebut menghasilkan peribadi hebat seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khawarizmi, Ibnu Haitam, Muhammad al-Idrisi, al-Zahrawi dan ramai lagi yang amat unggul dengan tradisi penyelidikan, pengkaryaan dan pengembangannya.

Rujukan kekuatan ini kembali kepada qudwah atau contoh unggul yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya remaja Islam mengimpikan kembalinya suatu zaman yang gemilang pada hari depan, Rasulullah s.a.w. seharusnya menjadi qudwah terbaik.

Para sahabat adalah penerus perjuangan Nabi dan para ulama adalah pewaris Nabi. Asas ini sekiranya dapat dikembangkan secara reflektif dan strategik ia bakal mencetuskan suatu arah baru dalam pengupayaan ilmu dan pendidikan.

Remaja Islam tidak harus mudah terjebak dengan konsep idola dan diva yang dikembangkan oleh Barat. Proses pemBaratan yang sedang berjalan menjadikan fokus selebriti, hiburan, muzik sebagai sumber memikat dan menghancurkan nilai-nilai murni mereka.

Remaja Islam harus insaf bahawa tanpa nilai dan akhlak Islami tidak mungkin tamadun Islam mampu lahir. Umat Islam akan terus menjadi pengguna dan pengkagum kepada gaya hidup Barat. Contoh atau qudwah yang terbukti menjadi rujukan kepada tamadun seharusnya menjadi ikutan remaja. Pada diri Rasulullah s.a.w. terdapat qudwah yang hebat untuk membangunkan umat bagi mendepani cabaran pembaratan dan globalisasi.

Cara-cara mencegah kejadian rogol atau serangan seksual terhadap remaja


1. Jangan terima pelawaan orang yang tidak dikenali untuk tunjuk arah atau jalan, suruh orang itu minta pertolongan lelaki dewasa. Jika didesak juga, lari dan jerit minta tolong.

2. Jangan tumpang orang yang tidak dikenali sama ada kereta, motor atau basikal.

3. Jangan percaya dan ikut orang yang mengaku dihantar oleh ibu bapa untuk mengambil kamu balik dari sekolah, meskipun diberitahu ibu-bapa kemalangan dan sebagainya.

4. Jangan terima duit, gula-gula atau snek dari orang yang tidak dikenali, jiran, jaga sekolah, guru atau teman lelaki jika berseorangan sahaja dengan mereka.

5. Berhati-hati apabila dalam perjalanan pergi sekolah, kedai dsb juga bila balik rumah.

6. Jangan jadikan amalan terlalu rapat dengan jiran lelaki sama ada tua atau muda, lebih-lebih lagi pergi bermain dan tidur di rumahnya kecuali dengan pengetahuan ibu-bapa dan tidak bersunyi-sunyi.

7. Jika kamu dihalang semasa sedang berjalan, cuba elakkan orang tersebut, jika masih dihalang, lari kebelakang dan jerit sekuat hati.

8. Balik kerumah segera sama ada dari sekolah atau tugasan diluar, jangan singgah dimana-mana tanpa kebenaran dan elakkan dari terlalu banyak bermain-main.

9. Cuba pastikan bila berjalan atau keluar rumah hendaklah bersama keluarga atau teman-teman dalam kumpulan. Elakkan keluar rumah waktu malam kecuali dengan keluarga terdekat.

10. Elakkan dari bergaul bebas dengan lelaki yang tidak dikenali dan yang bukan mahram, kerana lelaki tersebut mungkin gunakan peluang itu untuk merogol kamu.

11. Cuba elakkan dari berjalan di lorong, taman atau kawasan yang sunyi. Jauhi bangunan yang tersudut.

12. Jangan pergi berubat dengan bomoh dan jangan sekali-kali tinggal seorang diri berubat dengannya. Doktor lelaki juga hanya boleh memeriksa kamu dengan kehadiran pembantu wanita/jururawat.

13. Jangan berpakaian seksi. Sekalipun kamu tidak menjadi mangsa pada masa tersebut,tetapi mungkin orang lain yang lebih lemah akan jadi mangsa rogol lelaki yang ada penyakit hati.

14. Pastikan pintu bilik berkunci dengan baik semasa kamu mandi, menyalin pakaian ataupun berehat atas katil.

15. Jangan bermain dan bergurau dengan kawan lelaki dan membiarkan mereka menyentuh badan kamu.

16. Orang lelaki termasuk bapa, abang atau saudara-mara tidak boleh menyentuh bahagian sulit kamu.

17. Patuhi syari'at Allah, buat yang disuruh, tinggal yang dilarang nescaya kamu selamat.

18. Allah berfirman yang bermaksud ".....Jangan dekati zina". Jangan bergaul bebas atau melakukan perkara yang dilarang agama yang boleh membawa kepada zina dan lebih teruk jika dirogol.

Tuesday, April 28, 2009

Dedaun Kasih Yang Terlerai

Dedaun Kasih Yang Terlerai

Bicara ini kuutus untukmu
Lahir dari lubuk hatiku
Kian membuak rasa mendalam
Ingin sekali tertumpah
Pada minda dan hatimu

Mengapakah terus begini
Bahagia yang mekar mewangi
Yang kian carik dan terkoyak
Dari rimbunan kasih sayang
Bukanlah kehendak kita
Untuk terus bertelagah
Tapi itulah yang terjadi
Melerai sayang yang bersemi
Menggugat kasih

Marilah kita kutip semula
Dedaun kasih yang terlerai
Kita kumpul semula mesra terurai
Kita tanam kembali bajai lagi

Jangan kita tergugah lagi
Walau suasana berubah
Cinta Ilahi itu abadi
Rindunya membawa mati
Dari situ kasih kita bersemi

Tuesday, April 14, 2009

MEMORANDUM PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) KEPADA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KEENAM

Hari ini Malaysia menyaksikan satu peralihan kuasa dan perlantikan Perdana Menteri yang keenam dengan lancar dan aman. Perdana Menteri yang baharu, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah dilantik bagi menggantikan Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi.

Perlantikan ini juga membawa satu mesej perubahan yang besar yang bakal digalas oleh Perdana Menteri yang baharu. Segala silang sengketa politik, kemuraman ekonomi, kebejatan sosial yang bertambah dan seumpamanya adalah cabaran yang perlu ditangani dengan segera.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merakamkan ucapan selamat bertugas dengan amanah dan bijaksana dalam memimpin negara dengan pelbagai cabaran yang mendatang. Sebagai pertubuhan pelajar Islam peringkat kebangsaan, yang juga mewakili sebahagian besar generasi muda di Malaysia, PKPIM menyatakan lima penyataan besar kami supaya pihak YAB Perdana Menteri dapat pertimbangkan;

1. Mengangkat nama baik Malaysia ke taraf yang lebih baik, dari segi imej integriti, mesra- pelabur, rakyat yang berjiwa besar, warganegara yang beradab, kredibiliti semua lapisan pemimpin, sikap berlapang dada dalam soal asas negara di kalangan ahli politik, ilmuwan dan sarjana yang berwibawa diketengahkan dan pendidikan yang membentuk insani. Cabaran ini perlu digalas di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk pihak pembangkang, supaya atas nama negara, semua dapat bersama.



2. Mengangkat kembali semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DDK) 1971, yang telah digagaskan oleh ayahanda YAB Perdana Menteri. Konsep ‘Satu Malaysia’ yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri sebagai satu tagline kepimpinan YAB seharusnya berpijak atas landasan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971. Atas kesedaran realiti yang ada, DDK 1971 adalah lonjakan yang telah menyusun kembali struktur masyarakat kita selepas tragedi 1969. ‘Kebudayaan’ yang dimaksudkan bukan dalam erti kata yang sempit iaitu seni, artis dan tarian, tetapi sebuah binaan nilai dan worldview di peringkat pemikiran masyarakat. Gagasan DDK 1971 ini ialah;

o Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini (kebudayaan orang-orang Melayu)

o Unsur-unsur kebudayaan bangsa lain (Cina,India, dan lain-lain) yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan.

o Islam tetap menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.



3. Mewujudkan pool of talented youth (kumpulan anak muda yang berbakat) dari segi kepimpinan, cerdik akalnya, berfikiran jauh dan seumpanya, tidak kira bangsa dan agama, supaya menjadi sumber penting negara kelak. Mereka ini boleh dikenal pasti (head hunting) di sekolah- sekolah, universiti dan kolej, dengan diberi bimbingan, disemai semangat kenegaraan dan diasah bakat mereka. Dengan proses yang terancang ini, mereka boleh mewakili Malaysia dalam apa jua program melibatkan anak muda, bahkan berperanan secara berkesan mengangkat nama Malaysia.



4. Mengangkat martabat universiti, pendidikan menengah dan rendah yang membina insan. Falsafah penubuhan universiti hari ini melahirkan pekerja industri, bukan manusia yang beradab. Oleh kerana itu kita mungkin mempunyai warganegara yang berdedikasi dengan kerjanya, tetapi hilang pertimbangan akhlak. Universiti harus diwarnai dengan acara keilmuan, perdebatan ilmiah, kunjungan sarjana luar negara dan medan penerokaan ilmu yang berterusan. Mahasiswa yang berada di universiti harus diberi motivasi tertinggi, melalui kepimpinan dan pengarahan dasar YAB, supaya tujuan penting itu dapat dilaksanakan. Di peringkat menengah dan rendah, dasar penyampaian Sains dan Matematik hendaklah diajar dalam bahasa kebangsaan. Pendidikan Islam dan moral juga diberi penekanan bersungguh dan serius tatkala ingin membangunkan akhlak di kalangan pelajar.



5. Melabur dan menumpukan lebih kepada generasi muda di pedalaman, tidak kira kaum dan agama, dari segi kualiti pendidikan, nilai budaya dan masa depan mereka. Akibat pembangunan dan tumpuan deras di bandar, menyebabkan mereka ketinggalan jauh, dan akhirnya meninggalkan perasaan ‘inferiority complex’. Mereka ini harus dibangkitkan kesedaran dan semangat mencintai ilmu supaya dengan kemahiran yang ada, mereka boleh berbakti kepada masyarakat kelak.






Presiden & Ahli Jawatankuasa PKPIM Pusat dan Kampus

Serta Badan- Badan Gabungan PKPIM seluruh Malaysia

Sunday, April 12, 2009

Soal Jawab : Era mengarusperdanakan masalah wanita

Menteri tersentuh tinjau isu OKU, golongan hawa setiap kali turun padang

Apakah perasan Datuk Seri dengan pelantikan ini?

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak atas pelantikan ini. Saya berazam untuk menjalankan tugas dengan cemerlang. Pertamanya, kumpulan sasar kementerian ini iaitu wanita, keluarga, warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) terlalu dekat dengan saya dan sentiasa menyentuh hati saya. Dengan umur saya kini, kerja yang saya buat dalam politik saya anggap sebagai ibadat. Ia tidak menjadi beban kepada saya, malah saya mendapat kebahagiaan tersendiri.

Di kementerian ini, kalau kita buat kerja dengan ikhlas, baik, cermat dan pandai, kumpulan sasar ini mendapat manfaatnya daripada perkhidmatan kita. Pada saya, ia membawa 1,000 rahmat.

Adakah Datuk Seri sudah menjangkakan dipilih semula dan kembali ke kementerian ini?

Tidak sama sekali. Bila sudah menang Ketua Wanita, saya tiada masa fikir yang lain. Habis saja Perhimpunan Agung Umno, tukar baju, terus pergi berkempen selama 11 hari sampai selesai. Saya balik sehari selepas selesai pilihan raya kecil pada Selasa (7 April lalu). Hanya itulah sehari untuk berehat sikit. Ketika itu pun, saya masih memikirkan apa lagi yang kena buat untuk Wanita Umno.

Memanglah terdetik juga dalam hati, siapalah wakil Wanita yang bakal dilantik (dalam Kabinet) dan berdoa. Terus terang, saya tidak tahu langsung siapa yang menjadi pilihan Perdana Menteri. Saya ingat semua orang tak tahu. Saya sendiri hanya tahu ke mana saya ditempatkan pada kira-kira jam 3 petang, sama seperti rakyat yang mengikuti pengumuman oleh Najib. Memang berahsia benar.

Berdebar juga, saya ingat semua orang pun berdebar. Bukan orang politik saja, orang di luar politik pun sama. Tumpuan yang diberi amat ketara kerana semua orang menunggu dan mahu tahu siapa anggota barisan Kabinet baru.

Tempoh setahun di luar kementerian ini sudah pasti meninggalkan kesan kepada diri Datuk Seri. Apa lagi kementerian ini sememangnya amat rapat dengan Datuk Seri. Apakah perkara pertama terlintas di hati Datuk Seri sebaik mengetahui dipilih?

Saya tinggalkan kementerian ini selama setahun. Jadi bila saya lapor diri esok, saya akan diberi taklimat perkembangan setahun dan

ia akan bermula dari situ. Tempoh setahun di luar kementerian membolehkan saya terokai kementerian ini dari kaca mata orang lain. Ba-nyak aspek perlu dikemas kini dan dipertingkatkan. Sudah pasti ketika penggal kedua saya di sini (kementerian), saya mesti pastikan perkhidmatan diberikan lebih baik daripada dulu. Pada saya, tempoh

setahun itu adalah setahun yang berkat kerana saya boleh tengok masalah seperti birokrasi lambat sangat (bertindak). Ia terutama dalam soal membantu orang sakit dan orang tua.

Apabila turun padang ketika pilihan raya kecil, saya tengok terlalu ramai keluarga yang terdampar dan tidak mendapat bantuan. Ada keluarga, dua tiga anak OKU, ada orang tua yang tiada siapa pun nak tolong. Kes sebegini menyentuh hati saya dan saya berazam, kalau saya sendiri kena turun padang, saya akan turun.

Apakah perubahan atau keutamaan yang mahu Datuk Seri lakukan selepas ini?

Selaku Ketua Wanita Umno, visi saya adalah untuk era baru wanita. Kita mahu memperjuangkan isu wanita, keluarga dan syariah di kementerian ini. Saya akan tentukan isu wanita dari segi perundangan, dasar serta peraturan yang wajar diberikan perhatian. Niat saya ialah untuk mengarusperdanakan isu wanita dan menjadi isu politik negara. Sekarang ini di seluruh dunia ada anjakan paradigma yang mana kalau kerajaan mahu maju dan mendapat keyakinan rakyat, ia perlu memberi perhatian kepada isu wanita.

Malah, jika kita amati di negara maju, antara isu diketengahkan menjadi pegangan parti politik ialah isu wanita. Saya mahu Wanita Umno menjadi suara lantang dan saya akan menggerakkan Wanita Umno untuk memberi keutamaan kepada isu yang dibawa kementerian. Saya berazam supaya isu wanita menjadi isu utama. Kita tidak boleh berasa segan silu mahu membawa isu wanita, keluarga dan syariah. Mengapa kita harus malu memperjuangkan isu wanita. Ketika ini kita dapat lihat kepemimpinan mana-mana parti politik diterajui golongan bapa. Sebab itu, bila tak ramai wanita menjadi pembuat keputusan, maka kita rasa segan dan malu. Kenapa hanya isu ekonomi diberi perhatian, isu sosial termasuk soal wanita juga mesti seimbang. Saya mahu memastikan hak dan peluang kepada wanita itu mesti dibela. Saya tahu ini bukan perkara mudah, tetapi dalam dunia ini kalau kita tiada impian, susah kita nak ada perjuangan. Perjuangan itu bermula dengan visi dan impian.

Ketika Datuk Seri menerajui kementerian ini dulu, Datuk Seri ada memperjuangkan isu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar di negara ini. Bagaimana Datuk Seri melihatnya dalam barisan Kabinet hari ini?

Ketika saya menjadi menteri dulu, kita dapat kelulusan supaya dasar kerajaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar adalah wanita. Tetapi saya nampak, saya terpaksa mula dari bawah semula.

Sebab itu Wanita Umno mesti berlatih dari sekarang, kita mesti ada program khas untuk mencungkil bakat yang ada, pengalaman dan potensi yang ada. Kita kena ada sistem mentor dan mentee. Di manakah mereka selepas generasi saya? Siapa

dia yang akan mengambil alih kepemimpinan supaya kita ada pelapis? Saya berminat untuk mengumpulkan wanita berpengalaman dan berpotensi serta berbakat dalam masa terdekat ini. Kita mesti melatih mereka supaya apabila tiba masanya untuk menghadapi pilihan raya atau pembuat keputusan, kita sudah sedia. Bakat dan potensi kita sudah ada.

Jadi saya akan buat sistem mentor mentee dan kita mesti mula menggilap bakat yang ada berasaskan pengalaman mahupun potensi mereka. Saya akan tentukan kita ada perancangan khas untuk menggilap bakat yang ada dalam parti politik.

Apakah Datuk Seri berasa kuota 30 peratus itu mencukupi?

Tidak, sekurang-kurangnya 30 peratus. Tetapi hari ini pembabitan kita (Wanita) masih sangat rendah. Mungkin hanya 10 peratus.

Datuk Seri bercakap soal isu syariah sebagai antara isu akan diutamakan. Bukankah isu itu sudah diperjuangkan sebelum ini? Apakah halangan yang menyebabkan ia sukar dilaksanakan?


Apabila bercakap mengenai isu syariah, saya ingin menegakkan undang-undang. Misalnya, dalam Undang-undang Keluarga Islam, antara langkah pertama saya mahu lakukan ialah menentukan undang-undang keluarga Islam dibentangkan pada persidangan penggal akan datang Parlimen. Saya akan perjuangkan isu ini habis-habisan. Saya akan jumpa Peguam Negara mengenainya.

Undang-undang ini hanya diselaraskan di Wilayah Persekutuan. Selepas itu, kita akan pergi dari satu negeri ke satu negeri. Saya rasa walaupun kita mengalami kegawatan ekonomi dan kegawatan politik, tetapi pada saya cabaran itu kita harus kita tukarkan menjadi perjuangan. Kadangkala dalam hidup ini apabila kita melalui masa susah, azam kita akan jadi kuat. Kadangkala, apabila kita terlalu senang dalam hidup ini, azam kita mungkin akan luntur sebab kita sudah ada semuanya. Pejuang ternama dalam dunia ini adalah mereka yang bangkit daripada perjuangan getir dan mereka yang bangkit daripada kegagalan.

- petikan rencana BERITA HARIAN, 12 APRIL 2009

Friday, April 10, 2009

SENARAI BARU KABINET

Perdana menteri - Datuk Seri Najib Razak

Timbalan perdana menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon - perpaduan & pengurusan prestasi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz - perundangan dan Parlimen
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Unit Perancang Ekonomi
Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom - hal ehwal Islam

Timbalan-timbalan menteri:

Datuk Liew Vui Keong
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk SK Devamany
Ahmad Maslan
T Murugiah

Menteri kewangan I
Datuk Seri Najib Razak

Menteri kewangan II
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Datuk Chor Chee Heung (timbalan)
Datuk Dr Awang Adek Hussin (timbalan)

Menteri pelajaran
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Datuk Dr Wee Ka Siong (timbalan)
Dr Mohd Puad Zarkashi (timbalan)

Menteri pengangkutan
Datuk Ong Tee Keat

Datuk Abdul Rahim Bakri (timbalan)
Datuk Robert Lau Hoi Chew (timbalan)

Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi
Tan Sri Bernard Dompok
Datuk Hamzah Zainudin (timbalan)

Menteri dalam negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Datuk Wira Abu Seman Yusop (timbalan)
Jelaing Mersat (timbalan)

Menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim

Datuk Joseph Salang Gandum (timbalan)
Senator Heng Seai Kie (timbalan)

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air
Datuk Peter Chin Fah Kui
Noriah Kasnon (timbalan)

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah
Datuk Seri Shafie Apdal

Datuk Hassan Malek (timbalan)
Datuk Joseph Entulu Belaun (timbalan)

Menteri pengajian tinggi
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Datuk Dr Hou Kok Chung (timbalan)
Datuk Saifuddin Abdullah (timbalan)

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Datuk Mustapa Mohamed

Datuk Mukhriz Mahathir (timbalan)
Datuk Jacob Dungau Sagan (timbalan)

Menteri sains, teknologi dan inovasi
Datuk Dr Maximus Ongkili
Fadillah Yusof (timbalan)

Menteri sumber asli dan alam sekitar
Datuk Douglas Uggah Embas

Tan Sri Joseph Kurup (timbalan)

Menteri pelancongan
Datuk Ng Yen Yen
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib (timbalan)

Menteri pertanian dan industri asas industri
Datuk Noh Omar

Datuk Johari Baharum (timbalan)
Datuk Rohani Abdul Karim (timbalan)

Menteri pertahanan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (timbalan)

Menteri kerja raya
Datuk Shaziman Abu Mansor
Datuk Yong Khoon Seng (timbalan)

Menteri kesihatan
Datuk Liow Tiong Lai
Datuk Rosnah Rashid Shirlin (timbalan)

Menteri belia dan sukan
Datuk Ahmad Shabery Cheek

Datuk Razali Ibrahim (timbalan)
Wee Jeck Seng (timbalan)

Menteri sumber manusia
Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Maznah Mazlan (timbalan)

Perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna
Datuk Ismail Sabri Yaakob
Datuk Tan Lian Hoe (timbalan)

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan
Datuk Kong Cho Ha
Datuk Lajim Ukin (timbalan)

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat

Datuk Seri Sharizat Jalil
Datin Paduka Chew Mei Fun (timbalan)

Menteri luar
Datuk Anifah Aman

A Kohilan Pillay (timbalan)
Datuk Lee Chee Leong (timbalan)

Menteri wilayah persekutuan
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Datuk M Saravanan (timbalan)

Friday, April 3, 2009

:: KES ROGOL MAKIN MENINGKAT ::

Sejak akhir-akhir ini, kita sering melihat lambakan pelbagai masalah sosial yang
melanda masyarakat kita yang dipaparkan oleh media massa. Kes penceraian yang semakin
meningkat, kes buli, kes sumbang mahram dan semalam laporan kes rogol yang semakin
meruncing. Kes rogol di negara ini pada tahun lalu mencatatkan peningkatan hampir
300 peratus daripada jumlah kes 2007 dimana peningkatan sebanyak 3178 kes berbanding
tahun yang sebelumnya. Paling menyayat hati, kanak-kanak tadika yang dilaporkan
dirogol baru-baru ini. Di manakah nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita yang
terkenal dengan adat-adat ketimuran?

Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
melahirkan rasa bimbang atas peningkatan laporan kes rogol serta beberapa lagi
masalah sosial yang lain. Apatah lagi jika dibicarakan isu sumbang mahram dan juga
penzinaan yang berlaku di kalangan generasi muda, isu anak luar nikah, malah
masyarakat yang ’sakit’ dan ’tenat’ sanggup melakukan apa sahaja hingga ke tahap
membunuh demi memuaskan gelodak nafsu semata-mata. Ini menerangkan hakikat kecelaruan
pemikiran masyarakat yang ditambah lagi dengan suasana kehidupan yang semakin
terhakis nilai-nilai moral dan sahsiah. Kondisi masyarakat yang tidak membantu serta
mendidik generasi sekarang dan akan datang dengan norma-norma tauhid dan nilai-nilai
keinsanan. Akibatnya, benteng jati diri semakin hancur dan lahirlah generasi yang
hilang adab dan tidak berperikemanusian.

Tiada ertinya mengejar kemajuan demi pembangunan masa hadapan jika akhirnya
masyarakat mengalami kehancuran nilai-nilai kemanusiaan, hilang jati diri dan pedoman
hidup. Menyedari hakikat ini, Majlis HEWI PKPIM, menyarankan agar semua pihak agar
sentiasa memandang serius tentang isu ini kerana kesan serta impak remaja-remaja yang
dirogol adalah sangat serius dan bersifat jangka masa panjang. Pendidikan serta
pendedahan awal tentang penjagaan keselamatan diri remaja terutamanya remaja
perempuan perlulah dilaksanakan seawal mungkin khususnya di peringkat kanak-kanak
lagi agar mereka tahu bagaimana hendak bertindak apabila keselamatan diri mereka
tergugat. Sebagai contoh,bagaimana reaksi ketika dihampiri dengan orang yang tidak
dikenali, bagaimana cara hendak menolak ajakan secara berhikmah dan apakah hak-hak
yang dimiliki sebagai seorang wanita jika diganggu oleh mana-mana individu yang
dikenali atau tidak dan apatah lagi dirogol.

Menyedari hakikat bahawa isu keganasan terhadap remaja wanita memerlukan pembelaan
yang berterusan, Majlis HEWI PKPIM yang merupakan satu badan pelajar peringkat
kebangsaan akan terus berpatisipasi dalam menangani isu ini dan bersedia bekerjasama
dengan Badan Kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat amnya. Isu keganasan terhadap
remaja wanita sering dibincang dan dikupas melalui Seminar, Forum dan Ceramah.
Bermula dengan definisi keganasan, punca dan kesan keganasan yang akhirnya telah
menghasilkan satu resolusi ke arah merungkaikan permasalahan sosial ini. Namun
begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan keganasan terhadap remaja wanita
tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila
ada mangsa terbaru dilaporkan.

Majlis HEWI PKPIM menyedari hakikat bahawa isu ini tidak hanya dapat diselesaikan
melalui Seminar dan Forum semata-mata, malah ianya memerlukan usaha diri wanita itu
sendiri dalam menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Justeru,
Majlis HEWI PKPIM merasakan bahawa perlu diwujudkan satu usaha yang bersepadu dan
menyeluruh dalam memberikan kemahiran dan pengetahuan tentang kaedah untuk mencegah
daripada menjadi mangsa keganasan.

Dengan penuh rasa tanggung jawab, Majlis HEWI PKPIM merasakan peri pentingnya Bengkel
Keselamatan Untuk Remaja (BESTARI) di adakan untuk menyedarkan para remaja wanita
bahawa mereka berhak untuk berada dalam keadaan yang selamat. Di samping itu program
ini bertujuan untuk memandu para remaja wanita apa yang harus dilakukan apabila
berada di dalam situasi yang menganggu gugat keselamatan mereka.

Dengan pelaksanaan program ini serta sokongan dari semua pihak secara berterusan,
Majlis HEWI PKPIM dapat merasakan adanya usaha meratakan serta merakyatkan kefahaman
tentang penjagaan keselamatan diri remaja khususnya remaja wanita dan sedikit
sebanyak dapat mengurangkan kadar kes sosial yang semakin meruncing.



Disediakan oleh,
NOR AKMARIAH ABDULLAH
NAIB PRESIDEN HAL EHWAL SISWI (HEWI)
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
861108-46-5374