Tuesday, April 14, 2009

MEMORANDUM PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) KEPADA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KEENAM

Hari ini Malaysia menyaksikan satu peralihan kuasa dan perlantikan Perdana Menteri yang keenam dengan lancar dan aman. Perdana Menteri yang baharu, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah dilantik bagi menggantikan Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi.

Perlantikan ini juga membawa satu mesej perubahan yang besar yang bakal digalas oleh Perdana Menteri yang baharu. Segala silang sengketa politik, kemuraman ekonomi, kebejatan sosial yang bertambah dan seumpamanya adalah cabaran yang perlu ditangani dengan segera.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merakamkan ucapan selamat bertugas dengan amanah dan bijaksana dalam memimpin negara dengan pelbagai cabaran yang mendatang. Sebagai pertubuhan pelajar Islam peringkat kebangsaan, yang juga mewakili sebahagian besar generasi muda di Malaysia, PKPIM menyatakan lima penyataan besar kami supaya pihak YAB Perdana Menteri dapat pertimbangkan;

1. Mengangkat nama baik Malaysia ke taraf yang lebih baik, dari segi imej integriti, mesra- pelabur, rakyat yang berjiwa besar, warganegara yang beradab, kredibiliti semua lapisan pemimpin, sikap berlapang dada dalam soal asas negara di kalangan ahli politik, ilmuwan dan sarjana yang berwibawa diketengahkan dan pendidikan yang membentuk insani. Cabaran ini perlu digalas di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk pihak pembangkang, supaya atas nama negara, semua dapat bersama.



2. Mengangkat kembali semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DDK) 1971, yang telah digagaskan oleh ayahanda YAB Perdana Menteri. Konsep ‘Satu Malaysia’ yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri sebagai satu tagline kepimpinan YAB seharusnya berpijak atas landasan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971. Atas kesedaran realiti yang ada, DDK 1971 adalah lonjakan yang telah menyusun kembali struktur masyarakat kita selepas tragedi 1969. ‘Kebudayaan’ yang dimaksudkan bukan dalam erti kata yang sempit iaitu seni, artis dan tarian, tetapi sebuah binaan nilai dan worldview di peringkat pemikiran masyarakat. Gagasan DDK 1971 ini ialah;

o Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini (kebudayaan orang-orang Melayu)

o Unsur-unsur kebudayaan bangsa lain (Cina,India, dan lain-lain) yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan.

o Islam tetap menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.



3. Mewujudkan pool of talented youth (kumpulan anak muda yang berbakat) dari segi kepimpinan, cerdik akalnya, berfikiran jauh dan seumpanya, tidak kira bangsa dan agama, supaya menjadi sumber penting negara kelak. Mereka ini boleh dikenal pasti (head hunting) di sekolah- sekolah, universiti dan kolej, dengan diberi bimbingan, disemai semangat kenegaraan dan diasah bakat mereka. Dengan proses yang terancang ini, mereka boleh mewakili Malaysia dalam apa jua program melibatkan anak muda, bahkan berperanan secara berkesan mengangkat nama Malaysia.



4. Mengangkat martabat universiti, pendidikan menengah dan rendah yang membina insan. Falsafah penubuhan universiti hari ini melahirkan pekerja industri, bukan manusia yang beradab. Oleh kerana itu kita mungkin mempunyai warganegara yang berdedikasi dengan kerjanya, tetapi hilang pertimbangan akhlak. Universiti harus diwarnai dengan acara keilmuan, perdebatan ilmiah, kunjungan sarjana luar negara dan medan penerokaan ilmu yang berterusan. Mahasiswa yang berada di universiti harus diberi motivasi tertinggi, melalui kepimpinan dan pengarahan dasar YAB, supaya tujuan penting itu dapat dilaksanakan. Di peringkat menengah dan rendah, dasar penyampaian Sains dan Matematik hendaklah diajar dalam bahasa kebangsaan. Pendidikan Islam dan moral juga diberi penekanan bersungguh dan serius tatkala ingin membangunkan akhlak di kalangan pelajar.



5. Melabur dan menumpukan lebih kepada generasi muda di pedalaman, tidak kira kaum dan agama, dari segi kualiti pendidikan, nilai budaya dan masa depan mereka. Akibat pembangunan dan tumpuan deras di bandar, menyebabkan mereka ketinggalan jauh, dan akhirnya meninggalkan perasaan ‘inferiority complex’. Mereka ini harus dibangkitkan kesedaran dan semangat mencintai ilmu supaya dengan kemahiran yang ada, mereka boleh berbakti kepada masyarakat kelak.






Presiden & Ahli Jawatankuasa PKPIM Pusat dan Kampus

Serta Badan- Badan Gabungan PKPIM seluruh Malaysia

No comments: