Friday, April 3, 2009

:: KES ROGOL MAKIN MENINGKAT ::

Sejak akhir-akhir ini, kita sering melihat lambakan pelbagai masalah sosial yang
melanda masyarakat kita yang dipaparkan oleh media massa. Kes penceraian yang semakin
meningkat, kes buli, kes sumbang mahram dan semalam laporan kes rogol yang semakin
meruncing. Kes rogol di negara ini pada tahun lalu mencatatkan peningkatan hampir
300 peratus daripada jumlah kes 2007 dimana peningkatan sebanyak 3178 kes berbanding
tahun yang sebelumnya. Paling menyayat hati, kanak-kanak tadika yang dilaporkan
dirogol baru-baru ini. Di manakah nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita yang
terkenal dengan adat-adat ketimuran?

Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
melahirkan rasa bimbang atas peningkatan laporan kes rogol serta beberapa lagi
masalah sosial yang lain. Apatah lagi jika dibicarakan isu sumbang mahram dan juga
penzinaan yang berlaku di kalangan generasi muda, isu anak luar nikah, malah
masyarakat yang ’sakit’ dan ’tenat’ sanggup melakukan apa sahaja hingga ke tahap
membunuh demi memuaskan gelodak nafsu semata-mata. Ini menerangkan hakikat kecelaruan
pemikiran masyarakat yang ditambah lagi dengan suasana kehidupan yang semakin
terhakis nilai-nilai moral dan sahsiah. Kondisi masyarakat yang tidak membantu serta
mendidik generasi sekarang dan akan datang dengan norma-norma tauhid dan nilai-nilai
keinsanan. Akibatnya, benteng jati diri semakin hancur dan lahirlah generasi yang
hilang adab dan tidak berperikemanusian.

Tiada ertinya mengejar kemajuan demi pembangunan masa hadapan jika akhirnya
masyarakat mengalami kehancuran nilai-nilai kemanusiaan, hilang jati diri dan pedoman
hidup. Menyedari hakikat ini, Majlis HEWI PKPIM, menyarankan agar semua pihak agar
sentiasa memandang serius tentang isu ini kerana kesan serta impak remaja-remaja yang
dirogol adalah sangat serius dan bersifat jangka masa panjang. Pendidikan serta
pendedahan awal tentang penjagaan keselamatan diri remaja terutamanya remaja
perempuan perlulah dilaksanakan seawal mungkin khususnya di peringkat kanak-kanak
lagi agar mereka tahu bagaimana hendak bertindak apabila keselamatan diri mereka
tergugat. Sebagai contoh,bagaimana reaksi ketika dihampiri dengan orang yang tidak
dikenali, bagaimana cara hendak menolak ajakan secara berhikmah dan apakah hak-hak
yang dimiliki sebagai seorang wanita jika diganggu oleh mana-mana individu yang
dikenali atau tidak dan apatah lagi dirogol.

Menyedari hakikat bahawa isu keganasan terhadap remaja wanita memerlukan pembelaan
yang berterusan, Majlis HEWI PKPIM yang merupakan satu badan pelajar peringkat
kebangsaan akan terus berpatisipasi dalam menangani isu ini dan bersedia bekerjasama
dengan Badan Kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat amnya. Isu keganasan terhadap
remaja wanita sering dibincang dan dikupas melalui Seminar, Forum dan Ceramah.
Bermula dengan definisi keganasan, punca dan kesan keganasan yang akhirnya telah
menghasilkan satu resolusi ke arah merungkaikan permasalahan sosial ini. Namun
begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan keganasan terhadap remaja wanita
tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila
ada mangsa terbaru dilaporkan.

Majlis HEWI PKPIM menyedari hakikat bahawa isu ini tidak hanya dapat diselesaikan
melalui Seminar dan Forum semata-mata, malah ianya memerlukan usaha diri wanita itu
sendiri dalam menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Justeru,
Majlis HEWI PKPIM merasakan bahawa perlu diwujudkan satu usaha yang bersepadu dan
menyeluruh dalam memberikan kemahiran dan pengetahuan tentang kaedah untuk mencegah
daripada menjadi mangsa keganasan.

Dengan penuh rasa tanggung jawab, Majlis HEWI PKPIM merasakan peri pentingnya Bengkel
Keselamatan Untuk Remaja (BESTARI) di adakan untuk menyedarkan para remaja wanita
bahawa mereka berhak untuk berada dalam keadaan yang selamat. Di samping itu program
ini bertujuan untuk memandu para remaja wanita apa yang harus dilakukan apabila
berada di dalam situasi yang menganggu gugat keselamatan mereka.

Dengan pelaksanaan program ini serta sokongan dari semua pihak secara berterusan,
Majlis HEWI PKPIM dapat merasakan adanya usaha meratakan serta merakyatkan kefahaman
tentang penjagaan keselamatan diri remaja khususnya remaja wanita dan sedikit
sebanyak dapat mengurangkan kadar kes sosial yang semakin meruncing.



Disediakan oleh,
NOR AKMARIAH ABDULLAH
NAIB PRESIDEN HAL EHWAL SISWI (HEWI)
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
861108-46-5374

1 comment:

Anonymous said...

selagi hukum ALLAH tak ditegakan maka akan celaru la sosial manusia.
rujuklah Quran dan Hadis.
"sokong islam anda selamat"