Sunday, April 12, 2009

Soal Jawab : Era mengarusperdanakan masalah wanita

Menteri tersentuh tinjau isu OKU, golongan hawa setiap kali turun padang

Apakah perasan Datuk Seri dengan pelantikan ini?

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak atas pelantikan ini. Saya berazam untuk menjalankan tugas dengan cemerlang. Pertamanya, kumpulan sasar kementerian ini iaitu wanita, keluarga, warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) terlalu dekat dengan saya dan sentiasa menyentuh hati saya. Dengan umur saya kini, kerja yang saya buat dalam politik saya anggap sebagai ibadat. Ia tidak menjadi beban kepada saya, malah saya mendapat kebahagiaan tersendiri.

Di kementerian ini, kalau kita buat kerja dengan ikhlas, baik, cermat dan pandai, kumpulan sasar ini mendapat manfaatnya daripada perkhidmatan kita. Pada saya, ia membawa 1,000 rahmat.

Adakah Datuk Seri sudah menjangkakan dipilih semula dan kembali ke kementerian ini?

Tidak sama sekali. Bila sudah menang Ketua Wanita, saya tiada masa fikir yang lain. Habis saja Perhimpunan Agung Umno, tukar baju, terus pergi berkempen selama 11 hari sampai selesai. Saya balik sehari selepas selesai pilihan raya kecil pada Selasa (7 April lalu). Hanya itulah sehari untuk berehat sikit. Ketika itu pun, saya masih memikirkan apa lagi yang kena buat untuk Wanita Umno.

Memanglah terdetik juga dalam hati, siapalah wakil Wanita yang bakal dilantik (dalam Kabinet) dan berdoa. Terus terang, saya tidak tahu langsung siapa yang menjadi pilihan Perdana Menteri. Saya ingat semua orang tak tahu. Saya sendiri hanya tahu ke mana saya ditempatkan pada kira-kira jam 3 petang, sama seperti rakyat yang mengikuti pengumuman oleh Najib. Memang berahsia benar.

Berdebar juga, saya ingat semua orang pun berdebar. Bukan orang politik saja, orang di luar politik pun sama. Tumpuan yang diberi amat ketara kerana semua orang menunggu dan mahu tahu siapa anggota barisan Kabinet baru.

Tempoh setahun di luar kementerian ini sudah pasti meninggalkan kesan kepada diri Datuk Seri. Apa lagi kementerian ini sememangnya amat rapat dengan Datuk Seri. Apakah perkara pertama terlintas di hati Datuk Seri sebaik mengetahui dipilih?

Saya tinggalkan kementerian ini selama setahun. Jadi bila saya lapor diri esok, saya akan diberi taklimat perkembangan setahun dan

ia akan bermula dari situ. Tempoh setahun di luar kementerian membolehkan saya terokai kementerian ini dari kaca mata orang lain. Ba-nyak aspek perlu dikemas kini dan dipertingkatkan. Sudah pasti ketika penggal kedua saya di sini (kementerian), saya mesti pastikan perkhidmatan diberikan lebih baik daripada dulu. Pada saya, tempoh

setahun itu adalah setahun yang berkat kerana saya boleh tengok masalah seperti birokrasi lambat sangat (bertindak). Ia terutama dalam soal membantu orang sakit dan orang tua.

Apabila turun padang ketika pilihan raya kecil, saya tengok terlalu ramai keluarga yang terdampar dan tidak mendapat bantuan. Ada keluarga, dua tiga anak OKU, ada orang tua yang tiada siapa pun nak tolong. Kes sebegini menyentuh hati saya dan saya berazam, kalau saya sendiri kena turun padang, saya akan turun.

Apakah perubahan atau keutamaan yang mahu Datuk Seri lakukan selepas ini?

Selaku Ketua Wanita Umno, visi saya adalah untuk era baru wanita. Kita mahu memperjuangkan isu wanita, keluarga dan syariah di kementerian ini. Saya akan tentukan isu wanita dari segi perundangan, dasar serta peraturan yang wajar diberikan perhatian. Niat saya ialah untuk mengarusperdanakan isu wanita dan menjadi isu politik negara. Sekarang ini di seluruh dunia ada anjakan paradigma yang mana kalau kerajaan mahu maju dan mendapat keyakinan rakyat, ia perlu memberi perhatian kepada isu wanita.

Malah, jika kita amati di negara maju, antara isu diketengahkan menjadi pegangan parti politik ialah isu wanita. Saya mahu Wanita Umno menjadi suara lantang dan saya akan menggerakkan Wanita Umno untuk memberi keutamaan kepada isu yang dibawa kementerian. Saya berazam supaya isu wanita menjadi isu utama. Kita tidak boleh berasa segan silu mahu membawa isu wanita, keluarga dan syariah. Mengapa kita harus malu memperjuangkan isu wanita. Ketika ini kita dapat lihat kepemimpinan mana-mana parti politik diterajui golongan bapa. Sebab itu, bila tak ramai wanita menjadi pembuat keputusan, maka kita rasa segan dan malu. Kenapa hanya isu ekonomi diberi perhatian, isu sosial termasuk soal wanita juga mesti seimbang. Saya mahu memastikan hak dan peluang kepada wanita itu mesti dibela. Saya tahu ini bukan perkara mudah, tetapi dalam dunia ini kalau kita tiada impian, susah kita nak ada perjuangan. Perjuangan itu bermula dengan visi dan impian.

Ketika Datuk Seri menerajui kementerian ini dulu, Datuk Seri ada memperjuangkan isu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar di negara ini. Bagaimana Datuk Seri melihatnya dalam barisan Kabinet hari ini?

Ketika saya menjadi menteri dulu, kita dapat kelulusan supaya dasar kerajaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar adalah wanita. Tetapi saya nampak, saya terpaksa mula dari bawah semula.

Sebab itu Wanita Umno mesti berlatih dari sekarang, kita mesti ada program khas untuk mencungkil bakat yang ada, pengalaman dan potensi yang ada. Kita kena ada sistem mentor dan mentee. Di manakah mereka selepas generasi saya? Siapa

dia yang akan mengambil alih kepemimpinan supaya kita ada pelapis? Saya berminat untuk mengumpulkan wanita berpengalaman dan berpotensi serta berbakat dalam masa terdekat ini. Kita mesti melatih mereka supaya apabila tiba masanya untuk menghadapi pilihan raya atau pembuat keputusan, kita sudah sedia. Bakat dan potensi kita sudah ada.

Jadi saya akan buat sistem mentor mentee dan kita mesti mula menggilap bakat yang ada berasaskan pengalaman mahupun potensi mereka. Saya akan tentukan kita ada perancangan khas untuk menggilap bakat yang ada dalam parti politik.

Apakah Datuk Seri berasa kuota 30 peratus itu mencukupi?

Tidak, sekurang-kurangnya 30 peratus. Tetapi hari ini pembabitan kita (Wanita) masih sangat rendah. Mungkin hanya 10 peratus.

Datuk Seri bercakap soal isu syariah sebagai antara isu akan diutamakan. Bukankah isu itu sudah diperjuangkan sebelum ini? Apakah halangan yang menyebabkan ia sukar dilaksanakan?


Apabila bercakap mengenai isu syariah, saya ingin menegakkan undang-undang. Misalnya, dalam Undang-undang Keluarga Islam, antara langkah pertama saya mahu lakukan ialah menentukan undang-undang keluarga Islam dibentangkan pada persidangan penggal akan datang Parlimen. Saya akan perjuangkan isu ini habis-habisan. Saya akan jumpa Peguam Negara mengenainya.

Undang-undang ini hanya diselaraskan di Wilayah Persekutuan. Selepas itu, kita akan pergi dari satu negeri ke satu negeri. Saya rasa walaupun kita mengalami kegawatan ekonomi dan kegawatan politik, tetapi pada saya cabaran itu kita harus kita tukarkan menjadi perjuangan. Kadangkala dalam hidup ini apabila kita melalui masa susah, azam kita akan jadi kuat. Kadangkala, apabila kita terlalu senang dalam hidup ini, azam kita mungkin akan luntur sebab kita sudah ada semuanya. Pejuang ternama dalam dunia ini adalah mereka yang bangkit daripada perjuangan getir dan mereka yang bangkit daripada kegagalan.

- petikan rencana BERITA HARIAN, 12 APRIL 2009

No comments: