Sunday, December 21, 2008

:: persoalan HATI ::

Saya bertanya kepada emak, mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?
Mak jawab, kedua-duanya bukan..
Saya tercengang.. Mak mengukir senyuman.

Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.. Saya menarik nafas dalam-dalam.

Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa? Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya
mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya.
Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan
sekilas saya pun mak mampu membacanya.. Yang paling tahu hanya Allah..
mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. Kerana hanya Allah mampu
membaca hati hambaNya..mak menyusun ayat-ayatnya. Dan keikhlasan
kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja
ditonjokan oleh seseorang tu..

Saya memintas, Tak faham..

Mak menyambung Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama
mencari redha Allah.. Mak menyambung lagi, begini, setiap insan yang
bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin
dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh
ada daya tarikan magnet tu..Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak
dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung, Setiap manusia
telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi..
Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu? mak berhenti
seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak
buat-buat tidak nampak.

Secret Admire
Kakak, mak dulu masa
besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah
tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad
tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur..
Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak
nak belajar sungguh-sungguh. . Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak
bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami
mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima
balasan cinta tu. Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada
emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

Mak memang tak
ada perasaan lansung pada dia ke? saya menyoal sambil memandang tajam
wajah mak. Emak ketawa kecil. Walaupun mungkin ada, mak tak pernah
bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. Mak
takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak,
seperti kakak..mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.
Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek
dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni
yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada
sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang
bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu
panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan
awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman
tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit
ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami
dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung
tapi nampak jambulnya.. emak melemparkan pandangan ke lantai. Selepas
tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu
nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.. sambung emak. Ada
getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah
dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu
inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika
berjuang di sekolah dulu.

Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan
maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki
tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa
agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung
sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan
timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai
anak..mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba
memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?
Kakak..
Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu
tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang
yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena
ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh
cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan
berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah
dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling
benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar
hujah emak. Emak meneruskan, Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah
menzalimi hambaNya..Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah
diri hamba tu sendiri.. Sebabnyam hamba tu degil. Dia mahukan yang
bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak
semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi
bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata
batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas
syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang
perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat
baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya.
Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain..
Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita
dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh
sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia
halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi
seperti yang awalnya. emak berhenti seketika..

Bukan luar biasa

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. Kakak..
jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar
biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada
lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang
curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting
ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita
jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta
dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai
Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai
sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi
termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita
membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri
berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah
semata-mata. .

Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita
sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. .
Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri
dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila
dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya
bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa
sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta
dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana
tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan
bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat
dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah
merasai sahaja yang mampu mengerti.

Redha

Kakak..
Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan
hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau
yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak
nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri
setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan
mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya
hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil
kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu
kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu
bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap
pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. Sekali lagi berjuraian
air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.
Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah..
Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah
untuk Dia pelihara..Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak
dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

5 comments:

nur izzah said...

Subhanallah......,hny pada Allah tmpt kita bergantung dan berharap.tersentuh hati ni bila baca ttg 'persoalan hati"
mmg benar...,hati ni bukan milik kita tapi milik Allah.mudah2an Allah sentiasa mmelihara hati ni.cinta Allah adlh cinta yg teragung.....,kejarlah cinta Allah...pasti cinta org yg beriman akn m'iringi kita.

kupu-kupu berbicara... said...

hati bukan milik kita
tapi milik Allah
jadi kita kene sentiasa usaha dekatkan diri pada Allah supaya Dia pegang sekukuhnya hati kita di jalanNya...

Nur@sul Cint@iIl@hi said...

ku tak sangka ketemu kata2 yg ingin ku unkapkan setiap kali teman2 bertanya.....titis air mata yg mengalir ini tak ckp untuk ku kata kan cinta ku kpd ALLAH S.W.T...
>>>semoga ALLAH mencintai ku dan kalian semua........cinta ILAHI yg ku cari..........indak kata bicaramu menyentuh kalbuku....

Nur@sul Cint@iIl@hi said...

selama ni tak ku sangka masih ada insan yg berfikir seperti apa yang ku fikir....sentuhan kata ni membuat ku menitiskan air mata...Semoga ALLAH memberi cinta-Nya buat kita sekalian

Ummu Mukhlis said...

subhanallah.............

rindukan peluk mama pulak..

rindukan bicara nasihat dr kakak yg istimewa di hati ini..

bila mahu ketemu? moga Allah aturkan kelak..

salam mujahadah kakakku..

jemput bertamu ke blog..dicussion on ape yg prof khalijah ckp hari tu..=)