Friday, February 27, 2009

KRONOLOGI PPSMI

Perihal PPSMI: Satu Pemahaman Bersama
KRONOLOGI PPSMI

1993 Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika menjadi Perdana Menteri) membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris.

1995 Lebih 250 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta aliran Inggeris wujud.

1996 Persatuan Linguistik Malaysia menerbitkan buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, yang menentang dasar tersebut.

2002 Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003.

Pertemuan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyatakan bantahan.

2004 1.88 juta orang pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2005 Pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyatakan bantahan.

Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dipandang sepi.

Akhbar The News Straits Times, 16 September, melaporkan bahawa kebanyakan pelajar mendapat F dalam kedua-dua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tiba-tiba mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar dalam tempoh sebulan dua.

2008 Utusan Malaysia, 14 November melaporkan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kebimbangan pihak tertentu terhadap kemungkinan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) akan menjejaskan pencapaian pelajar dalam penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan bahasa ibunda adalah tidak berasas.


BAGAIMANA BAHASA MELAYU TERPELIHARA?

1. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia (diwartakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1967).
2. Penyata Razak 1956
3. Penyata Rahman Talib 1960
4. Akta Pelajaran 1961
5. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)


PERSOALAN YANG TIMBUL

1. Dasar PPSMI dilaksanakan tanpa sebarang kajian dan ad hoc, sedangkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dirangka pada tahun 1979 mengambil masa selama lapan tahun, baru dilaksanakan pada tahun 1988.
2. Adakah PPSMI dikatakan sangat bagus untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris?
3. Pengunaan bahasa Melayu sejak 1972 sehingga 2002 sebagai bahasa pengantar pendidikan menghasilkan ribuan ahli akademik dan profesional khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi. Jadi, mengapa perlu tukarkannya?
4. Dwibahasa dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. PPSMI dikatakan sebagai wadah memperkasakan bahasa Inggeris tetapi soalannya pula turut disediakan dalam bahasa Melayu. Mengapa pula begitu?
5. Benarkah anak-anak Malaysia lebih senang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris daripada belajar dalam bahasa Melayu?
6. Benarkah prestasi mereka lebih baik jika diajar dalam bahasa Inggeris berbanding jika diajar dalam bahasa Melayu?
7. Benarkah bahasa Melayu tetap bermartabat dengan hanya mengajar “sejemput mata pelajaran”?
8. Benarkah bahasa Melayu tetap bermartabat dan berdaulat di negaranya walaupun ribuan mata pelajaran sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris?
9. Benarkah jati diri kita tetap kukuh walaupun bahasa Melayu dihadkan penggunaannya dalam penyampaian ilmu?


CABARAN DAN MASALAH

1. Sokongan dan dokongan sepenuhnya daripada pemimpin negara, baik kerajaan mahupun pembangkang.
2. Keyakinan bangsa terhadap bahasa sendiri terutamanya orang Melayu.
3. Taraf dan darjat bahasa Melayu kini umpama “Teratai layu di tasik madu”.
4. Standadisasi bahasa Inggeris ditentukan dengan adanya Malaysian Univercity English Test (MUET) dan bersyarat wajib lulus tetapi bahasa Melayu tiada dalam syarat dan piawai terbaik.
5. Masih kedapatan rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa Melayu walapun selepas negara mencapai 51 tahun kemerdekaan
6. Perpaduan kebangsaan, polarisasi kaum dan kestabilan negara


HAKIKAT DAN REALITI YANG KURANG DIKETAHUI

1. Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua terbesar dalam penyebaran agama Islam selepas bahasa Arab.
2. Ramai ulama dunia Melayu yang menulis tentang Hisab al-Hind, aljabar (algebra), geometri, logaritma, dan falak. Antara karya Matematik yang ditulis oleh ulama Nusantara ialah Raudat al-Hussab fi a’mal al-Hisab (1310 H) oleh Syeikh Ahmad ‘Abdul Latif al-Khatib, Ilmu Hisab dan Ilmu Falak oleh Syeikh Ahmad al-Fatani, Muhammad Nur l-Ibrahimi, Ilm al-Mantiq (1352H) dan ramai lagi. Malahan ada karya-karya yang menjadi simpanan orang perseorangan luar Nusantara yang dijadikan bahan rujukan dan penyelidikan seperti Ilmu Hitungan yang tersimpan dalam koleksi J.A.W. Van Ophusyen, Belanda.
3. Bahasa Melayu sudah memiliki melebihi sejuta kosa kata meliputi pelbagai lapangan akademik, ekonomi, teknologi dan sebagainya.
4. Walaupun India dan Filipina telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 dan 60 tahun, namun mereka masih tidak mampu melepasi paras kemiskinan penduduk sehingga kini.
5. Itali pernah menggunakan bahasa Arab untuk memajukan negara dengan menceduk ilmu daripada Empayar Islam tetapi gagal.

6. Pada kurun ke-17, Jerman masih negara mundur kerana menggunakan bahasa Perancis untuk maju walaupun mempunyai sumber alam yang besar berbanding negara Perancis sendiri. Malahan penggunaan bahasa Perancis dalam institusi pendidikan dan peperiksaan pelajar di Jerman waktu itu masih gagal membentuk jati diri, keupayaan minda bangsanya, keyakinan bangsa Jerman malahan prestasi sebenar jauh lebih merosot pada hakikatnya.
7. Senarai Times Higher Education Supplement (THES) 2007 menunjukkan kebanyakan universiti dunia yang menggunakan bahasa kebangsaan berjaya menduduki tangga di bawah 50.
8. Kini, kira-kira 20% sahaja bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran pada peringkat menengah atas sehingga institusi pengajian tinggi.


IMPLIKASI

1. Lebih sejuta istilah baharu dalam bidang aeroangkasa, sains, perubatan, teknologi, perniagaan, ekonomi dan lain-lain lagi yang seumpamanya dalam bahasa Melayu ‘mati’.
2. Bahasa Melayu berada di tempat ketiga selepas bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
3. Penguasaan pelajar Melayu khususnya dalam ilmu sains dan matematik menjadi semakin teruk.
4. Akhbar berbahasa Melayu menjadi tidak laku dan akan terkubur sebagaimana akhbar tulisan jawi.
5. Politik orang Melayu menjadi lemah akibat suara perjuangan melalui akhbar berbahasa Melayu kehilangan pembaca dan tiada nilai ilmunya.
6. Kanak-kanak berkeperluan khas akan mengalami kesukaran untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana bahasa pertamanya adalah bahasa Melayu.
7. Dikhuatiri wujudnya kumpulan pelajar dan mahasiswa sekurang-kurangnya aliran kebangsaan dan Inggeris serta berkemungkinan aliran Cina


CARA PENYELESAIAN

1. Pulanglah ke pangkal jalan.
2. Menguatkuasakan undang-undang.
3. Menetapkan nisbah bilangan guru dan murid di dalam kelas adalah tidak melebihi 1:25.
4. Murid yang lemah berbahasa Inggeris, dicadangkan diajar secara tuisyen, yakni seorang guru untuk seorang murid.
5. Memenuhi kemudahan asas (seperti air, elektrik, kelas, makmal) dan prasarana pendidikan (seperti kerusi, meja, papan putih, radas eksperimen) terutamanya di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak.
6. Kursus bahasa Inggeris wajib untuk lepasan sekolah dan universiti supaya memenuhi tuntutan globalisasi dan kerjaya.
7. Semarakkan Kempen Gerakan Bahasa Kebangsaan seperti tahun 80-an di semua institusi pendidikan Malaysia.
8. Persatuan BM di sekolah dan IPT harus mengembeleng usaha lebih hebat menyemarakkan BM.
9. Kita harus yakin kepada bahasa Melayu di samping menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.
10. Institut Terjemahan Negara perlu melakukan usaha proaktif dengan memperbanyak lagi terjemahan daripada luar negara.
11. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu bergiat dengan lebih aktif menyediakan pilihan bahasa Melayu bagi setiap perisian terkemuka seperti Windows Vista, Microsoft Office dan lain-lain lagi yang seumpamanya supaya seluruh lapisan masyarakat dapat mengemas kini pengetahuan dalam sains dan teknologi maklumat, sebagaimana yang dilakukan oleh jiran kita, Indonesia. Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka, Telekom Malaysia dan Institut Terjemahan Negara pasti dapat menjayakannya.


BACA DAN ANDA YANG MENILAI DAN MENENTUKANNYA

KENYATAAN:
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad mencadangkan supaya pelajar cemerlang boleh mengikuti PPSMI dalam BI manakala kurang cemerlang mengikutinya dalam bahasa Melayu.
Harian Metro, 26 November 2008
MAKSUDNYA:
Bilamana akta yang digubal sedia ada sudah cukup untuk menentukannya dan diikuti (Akta 152 Perlembagaan, Akta Pendidikan 1996), mengapa pula kita ‘pandai-pandai’ mahu mengubahnya?


KENYATAAN:
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kebimbangan pihak tertentu terhadap kemungkinan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) akan menjejaskan pencapaian pelajar dalam penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan bahasa ibunda adalah tidak berasas.
Utusan Malaysia, 15 November 2008
MAKSUDNYA:
1. Terang-terang sudah melanggar keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang pun dikatakan tidak berasas lagi?
2. Lebih 80% mata-mata pelajaran Sains dan Matematik untuk menengah atas dan institusi pengajian tinggi diajar dalam bahasa Inggeris sekaligus menafikan kedudukan bahasa Melayu. Paling hebat, sastera Melayu pun diajar dalam bahasa Inggeris. Komen?


KENYATAAN:
''Seperti kenyataan saya semalam, saya berpandangan bahawa keputusan UPSR telah menunjukkan dasar PPSMI tidak gagal. Mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam pelaksanaannya, tetapi belum cukup untuk menyimpulkan bahawa ia gagal," katanya.
Utusan Malaysia, 15 November 2008
Maksudnya:
Kerajaan tetap akan meneruskan juga dasar PPSMI walaupun tidak dipersetujui semua. Barangkali sudah terberak baru mahu dikorek lubang agaknya?


KENYATAAN:
Hishammuddin berkata, tahap keyakinan dan keselesaan pelajar untuk menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat dalam UPSR tahun ini.

''Misalnya, bagi mata pelajaran Sains, 52.6 peratus atau 268,076 calon menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini termasuk 21.3 peratus calon yang menjawab menggunakan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," katanya.

MAKSUDNYA:
Nampaknya Hishammuddin suka bermain dengan peratusan. Kalau 53% menjawab dalam bahasa Inggeris atau kedua-dua bahasa, maknanya 47% menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sedangkan PPSMI sudah berlangsung selama 6 tahun. Masakan murid masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris? Pendatang asing yang bekerja di Malaysia pun hanya mengambil masa selama 3 bulan sahaja untuk menguasai bahasa Melayu.


KENYATAAN:
Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna.

MAKSUDNYA:
Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Tun belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.


SEKADAR RENUNGAN BUAT SEMUA

1. Ibnu Khaldun menerusi Mukadimah (Bab 2, Bahagian 22) menyatakan, bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkannya. Tingkah laku ini disebabkan manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa sempurna.

2. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagum terhadap bangsa yang menaklukinya sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor biasa sahaja.

3. Ingatlah, selepas jepun dibom, Maharaja Meiji pernah berkata dalam pidatonya di Tokyo, “ Jika Barat tidak mahu membantu kita untuk bangunkan negara kita yang telah musnah ini dengan bahasa dan teknologi mereka. Tidak mengapa. Kita kumpul seluruh besi-besi buruk, tong-tong kosong untuk kita bina kembali Negara kita. Kita akan gunakan bahasa Jepun untuk maju pada masa akan datang. Biarlah suatu masa nanti jika barat ingin belajar dengan teknologi kita, mereka harus belajar bahasa kita dahulu.

4. kekuatan sebenar bahasa Inggeris bukanlah kerana bahasanya yang kuat. Ini disebaban dalam ilmu bahasa semua bahasa mempunyai potensi yang sama. Tidak ada istilah bahasa agung di dunia melainkan bahasa al-quran dan juga sebagai bahasa syurga.

5. kekuatan sebenar bahasa inggeris terletak pada sikap, keyakinan, usaha, iltizam, semagat tidak putus asa rakyat Inggeris yang menginginkan bangsa mereka maju melalui bahasa mereka sendiri yang telah diperjuangkan oleh mereka sejak lebih seratus tahun dahulu. Inilah sikpa yang harus kita pupuk dalam pemikiran dan jiwa rakyat Malaysia.


AKHIR KATA

Melintuk liuk daun semalu,
Bernyanyi pula si unggas tempua,
Berbahasa Melayu kononnya malu,
Belacan sekepal di bedal juga.
Apa guna keringat diperah,
Kalau tidak bersemangat waja,
Apa guna BM dikerah,
Kalau tidak kepada Negara.
Bahasa Melayu dijunjung, bahasa Inggeris digendong.



Disediakan Oleh:

Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM.

1 comment:

Anonymous said...

PPSMI kalau tak ngajaq tak tau. dah ngajaq tentu tau. nak tau tanya la cikgu yang tau. PPSMI adalah menda celaru yang banyak buruk dari baik. kena pikiq balik dah 6 tahun menda ni berjalan. pernah dak hampa dengaq laporan sebenaq tentang pencapaian exm yg jawapannya telus.....