Tuesday, April 20, 2010

HEWI PKPIM mahu terlibat tangani gejala sosial



Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri
utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 April - Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menangani isu pembuangan bayi di kalangan remaja.

Ia antara 12 resolusi yang dipersetujui HEWI PKPIM pada persidangan meja bulat berkenaan isu pembuangan bayi yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.

Kerjasama itu diadakan kerana mahasiswa ingin bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan generasi muda Islam di negara ini bebas daripada gejala sosial menjelang 2020.

Perbincangan itu dikendalikan oleh Naib Presiden HEWI PKPIM, Nor Akmariah Abdullah dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Sopian Ibrahim dan Pegawai Penyelidik Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Aminah Ismail.

Selain itu ialah Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq dan Ahli Jawatankuasa Belia Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Maryam Aizuddin.

Nor Akmariah ketika mengumumkan perkara itu berkata, resolusi lain yang dipersetujui ialah melaksanakan program-program kesedaran mengenai isu pembuangan bayi baik yang berskala besar atau kecil.

''Kami juga bersedia membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program-program kesedaran di kawasan masing-masing,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperbanyakkan program pembangunan remaja lelaki dan perempuan untuk tempoh jangka panjang dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh, menjadikan ilmu sebagai keutamaan dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.

''Selain itu kami juga akan memperkasakan siri-siri kuliah agama anjuran PKPIM supaya dapat memperbetul dan memperkukuhkan pandangan hidup remaja sebagai seorang muslim,'' katanya.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

1 comment:

menanti syuhada' said...

salam ma..
teruskan perjuangan..